Pada
hari Rabu bertarikh 23 Januari 2013 pihak Hewi MTPANSM telah
menganjurkan sebuah program bersiri Cerah Softskill iaitu ‘Sharpen Your
Potential’ . Bertempatkan di surau indah RNSK program dimulakan tepat
jam 8:15 minit malam dengan alunan zikir-zikir.Objektif program ini
diadakan untuk melahirkan seorang mahasisiwi yang berketrampilan( berani
ke hadapan) dan memiliki jati diri yang berkualiti. Program ini
diadakan khusus untuk semua serikandi Rumah Negeri Sembilan Kaherah
(RNSK) bagi melatih dan memantapkan kemahiran diri yang ada dalam diri
setiap serikandi . Penceramah dijemput khas dari Alexandaria iaitu
Ustazah Siti Iziatul Hawa binti Yusuf.
Perbincangan dan perkongsian yang telah di ketengahkan oleh penceramah tersebut ialah tentang seni komunikasi berkesan iaitu pengucapan umum. Menurut saudari penceramah, selaku seorang mahasiswi dan remaja muslimah kita tidak seharusnya terikat dengan tugasan belajar semata-mata, bahkan kita perlu untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam melatih kemahiran dan mempertingkatkan potensi diri khususnya dalam bidang pengucapan umum.
Saudari penceramah yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Bahasa Arab itu mengatakan tidak semua orang itu fasih apabila bercakap di hadapan khalayak ramai. Akan tetapi, kefasihan itu bisa dipupuk dan disemai dalam diri masing-masing sekiranya kita mengetahui cara-cara yang sebenar dalam menyampaikan sebuah pengucapan umum tersebut.
Antara isi-isi yang dibincangkan dalam slot ‘Sharpen Your Potential’ ini ialah bagaimana untuk menyampaikan sebuah pengucapan umum yang berkesan dan terkesan dengan mengetahui teknik-teknik umum sesebuah pengucapan umum. Teknik-teknik umum tersebut termasuklah pemilihan tajuk yang sesuai, merangka isi-isi yang bernas, penyampaian yang baik dan mengutamakan bahasa yang baik serta kelancaran yang fasih.