Friday, 8 January 2016

~Pesanan Imtihan~ [RF.10]




Assalamualaikum buat para pencinta ilmu walau di mana jua kalian berada. Semoga jiwa dan jasad kita sentiasa dalam redha-Nya. In shaa Allah.
Bergelar seorang hamba membuatkan diri kita tidak akan pernah sunyi dengan pelbagai ujian. Allah hadirkan pelbagai bentuk ujian untuk menguji betapa teguhnya kebergantungan kita terhadap-Nya. Di samping menguji tahap keimanan seorang hamba, ujian itu merupakan tanda sayang dan ingatan Pencipta makhluk kepada hambanya. Cumanya, terpulang bagaimanakah kita mentafsirkan sebuah ujian yang Allah berikan.
Firman Allah: "Adakah patut manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka masih belum diuji dengan sebarang ujian?"
[Al-Ankabut : 2]

Sahabat-sahabat yang disayangi,
Begitu juga dengan status kita sebagai penuntut ilmu. Selain imtihan kehidupan, kita tidak akan terlepas dari menduduki imtihan ataupun peperiksaan untuk menguji tahap ilmu yang telah kita pelajari. Semestinya fatrah imtihan merupakan fatrah yang sangat-sangat menguji jiwa dan rasa. Namun begitu, ilmu yang telah kita pelajari tersebut bukanlah sekadar untuk dicurahkan sepenuhnya pada lembaran dan helaian kertas jawapan lalu dilupakan. Tidak! Akan tetapi kita mestilah sentiasa mempraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian kita.
Justeru itu sahabat-sahabat yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, dalam kesibukan kita mentelaah pelajaran, fokusnya kita dalam menghafal sesuatu ilmu, kita hanya tumpukan untuk berjaya dalam peperiksaan atau imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Akan tetapi kita terlupa untuk mentajdid niat belajar. Oleh itu, marilah kita bersama memperbaharui niat belajar kerana Allah dan demi keberkatan ilmu tersebut. Marilah kita memperbanyakkan niat yang baik dalam menuntut ilmu. Semoga keberkatan ilmu yang kita pelajari berjaya diraih dengan cemerlangnya pelajaran dan akhlak kita.
"من علامات النجاح في النهاية الرجوع إلى الله في البداية"
Maksudnya: Antara tanda keberhasilan di akhir perjuangan adalah kuatnya penyerahan diri kepada Allah di permulaannya. -Hikam Al-Atoiyyah (hikmah 34)

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Bangkitlah! Ayuh kita sama-sama sentiasa bersemangat dalam menuntut ilmu dan jangan sesekali kita berputus asa dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut ilmu. Kerana apa ya sahabat? Kerana tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa usaha yang gigih. Tiada juga hamparan karpet merah untuk semudah itu kita berjalan demi mencapai sebuah kejayaan, kerana di sebalik sebuah kejayaan itu terdapat pelbagai cabaran yang perlu kita tempuhi.
Sentiasalah sematkan di dalam hati kita bahawa kejayaan sebenar bukanlah pada tingginya pointer yang kita peroleh tapi yakinlah Allah akan memberikan kita kejayaan dalam apa cara sekalipun selagi mana kita sentiasa berusaha dan teruskan berusaha. Yakinlah!
Justeru itu sahabat-sahabat, semoga apa yang kita usahakan menjelang peperiksaan ini mendapat kejayaan yang sentiasa diredhai Allah sekaligus menjadikan kita seorang hamba yang bertaqwa dan sentiasa bergantung harap hanya pada-Nya. Saling mendoakan sesama kita ya. In shaa Allah.

                                                                                                                                               ~SQ92~ 7/1/16



#sitiathirah92�� .::TintaSamudera::.