Dalam hidup ini,
nikmat dan ujian amat sinonim dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah.
Kadangkala kita terleka dan alpa dengan nikmat sehingga Allah menurunkan ujian
kepada kita sebagai satu peringatan, tetapi masih ada juga antara kita yang
masih tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya. Berdasarkan tajuk di atas,
saya telah memilih tema NIKMAT ALLAH DI
CELAH UJIAN sebagai bingkisan buat entry kali ini. Mungkin ada yang terfikir apa motif sebenar saya memilih tema ini
sebagai entry saya. Sebelum saya mengulas tajuk ini dengan lebih lanjut, ingin
saya berkongsi satu kisah yang tajuknya juga sama seperti di atas. Hayati kisah
ini:
Pada pertengahan1997, Hafizuddeen Mohd Napiah menghidapi sejenis
penyakit yang menyerang bahagian otak. Ahli keluarga membawa dia dari sebuah
pusat rawatan ke sebuah pusat rawatan yang lain dalam usaha untuk mengesan dan
mengubati penyakit yang Allah ujikan kepadanya.
Ketika itu dia bertugas di Pertubuhan Peladang Negeri Perlis dan
menetap bersama ibu bapanya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar. Ketika mula
menderita sakit, dua minggu lamanya dia mengalami sakit kepala yang kronik.
Saban hari dia menahan sakit dari jam sebelas pagi hingga enam petang.
“ Hari-hari sakit kepala pada waktu yang sama, pasal apa?” Soalan dari
ketua tempat dia bekerja ini tidak mampu dijawabnya. Dia sendiri pun tidak tahu
penyakit apa yang menyerangnya.
Oleh kerana selalu sangat sakit kepala, dia terpaksa kerap ambil cuti.
Isterinya, Syahlina yang sedang mengandung kali kedua bimbang melihat
keadaannya, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Waktu sakit kepala itu menyerang,
picitan tidak menghilangkan rasa sakitnya.
Kira-kira dua minggu kemudian, Hafizuddeen koma ketika sedang duduk
menonton berita di rumah. Waktu dia sedang meriba anak sulungnya yang berusia
setahun lebih, apabila kepalanya berasa ringan bagaikan melayang. Selepas
sempat menyerahkan anak kecilnya ke tangan ayahnya yang duduk berhampiran, dia
memanggil-manggil ibunya, tetapi pandangannya terus gelap dan dia terbaring di
lantai ruang tamu.
Malam itu keluarganya mengejarkan Hafizuddeen ke Hospital Kangar dalam
keadaan dia koma. Mulutnya mengeluarkan cecair seakan-akan muntah ketika ayah,
abang sulung dan adik bongsunya membawanya ke hospital dengan kereta Kancil.
Keadaannya sangat kritikal. Dua hari dia koma.
Sedar dari koma, sakit kepalanya bertambah serius.Kerap kali
Hafizuddeen akan berguling-guling menahan sakit. Doktor di Hospital Kangar
gagal mengesan penyakit Hafizuddeen disebabkan kekurangan peralatan dan
kepakaran. Adik-beradik tidak bersikap menunggu, sebaliknya terus berikhtiar
membawanya ke sebuah klinik swasta.
Selepas proses imbasan masih gagal mengesan sebarang penyakit, ikhtiar
lain pula dicuba. Mereka membawanya ke sebuah klinik pakar di Pulau Pinang.
Selepas sekali lagi menjalani proses imbasan, barulah penyakitnya dapat
dikesan. Doktor mengesahkan Hafizuddeen menghidap arteriovenous malformation
(AVM) iaitu pendarahan otak yang berpunca daripada satu kelainan saluran darah
di otak.
Atas nasihat pakar itu, keluarga merujuk kes Hafizuddeen ke Jabatan
Neurosurgeri di Hospital Ipoh di mana dia menjalani rawatan dengan prosedur
‘burrhole’. Tetapi rawatan ini tidak memadai untuk menyembuhkan penyakitnya.
Pakar perunding dan ketua Jabatan Neuri surgery hospital berkenaan, Dr. Saffari
Mohd Shapani menyarankan Hafizuddeen menjalani rawatan radiosurgeri. Jika
lambat dia mungkin akan mengalami pendarahan otak dan mendapat sawan.
“Kaedah rawatan ini masih baru tetapi efektif dan berisiko rendah”,
beritahu Dr. Saffari. Doktor yang prihatin ini bersedia membantu menguruskan
dan mengambil bahagian dalam rawatn itu kelak.
Hafizuddeen hanya pasrah. Pergantungan hatinya Cuma dengan Tuhan di
samping mengharapkan doa daripada ibu ayah dan isteri tercinta. Apa yang tidak
diketahui ketika itu ialah bagaimana ibu bapanya dan adik-beradiknya
bertungkus-lumus mengumpul wang sebanyak RM 22,000. Itulah anggaran kos rawatan
radiosurgeri untuknya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Demi melihat Hafizuddeen kembali sihat, adik-beradiknya bersatu hati.
Hingga akhirnya Allah izinkan biaya sebanyak itu disediakan. Bagaimanapun pada
saat akhir, RM 6000 lagi diperlukan untuk mencukupkan RM 28,000. Sekali kesatuan
hati antara adik-beradik berjaya menyelesaikan masalah apabila seorang menambah
sumbangan. Semua ini diluar pengetahuan Hafizuddeen.
Di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Hafizuddeen dipantau sehari
suntuk dari Sembilan pagi hingga enam petang. Dr. Saffari sendiri mengambil
bahagian penting dalam prosuder rawatan stereotaktik radiosurgeri atau ‘pisau
X’ itu. Rawatan ini hanya mengambil masa 30 minit.
Alhamdulillah,Hafizuddeen selamat menjalani rawatan itu. Benih penyakit
di otaknya berjaya dibuang. Keadaannya pulih seperti sediakala. Tiada langsung
kesan-kesan penyakit seperti sebelumnya. Malah esoknya dia sudah dibenarkan
pulang!
Selain daripada melihat kasih sayang Allah di sebalik ujian penderitaan
yang dialaminya, peristiwa itu menyedarkan Hafizuddeen pada kasih sayang
keluarga dan adik-beradik. Mereka sanggup bersusah-payah untuk melihat dia
kembali sihat. Kalau sebelumnya dia kadang-kadang berasa agak tersisih daripada
keluarga dan rasa kurang diberi perhatian. Kini dia sedar betapa mereka sangat
mengambil berat akan dirinya. Dia berasa lebih dekat dengan keluarga dan sangat
berterima kasih dengan pengorbanan mereka.
Selang beberapa hari selepas dia pulang ke pangkuan keluarga, isterinya
selamat melahirkan bayi kembar dua yang comel; seorang lelaki dan seorang lagi
perempuan. Masya-Allah....ada nikmat yang besar di celah ujian.
Banyak pengajaran dan
nilai moral yang boleh kita dapat daripada kisah di atas. Bagi saya pengajaran
yang paling terkesan adalah kita hendaklah redha dengan semua ketentuan Tuhan
dalam apa yang terjadi dalam hidup kita sama ada baik ataupun buruk. Hal ini kerana
setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang terselit disebaliknya. Dalam
konteks nikmat, amat sedikit manusia yang bersyukur dengan nikmat yang telah
dikurniakan Allah. Memang tidak dinafikan manusia itu mudah lupa, tetapi jangan
kekurangan itu dijadikan satu alasan untuk kita terus menjadi alpa. Dalam satu
hadis Rasulullah bersabda :
“Dunia nikmat yang
sering manusia lupa; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang” (riwayat Muslim dan
Bukhari)
Lihat sahaja keadaan
remaja pada hari ini yang dilihat semakin serius. Mereka sengaja menyakitkan
diri dan membahayakan kesihatan mereka dengan menyalahgunakan dadah, minum
minuman keras, melakukan seks bebas dan yang paling menyedihkan terdapat remaja
perempuan yang tegar menggugurkan kandungannya untuk menutup malu. Di mata
masayarakat dan keluarga berjaya dikaburi tetapi pada Allah, Tidak malukah
mereka? Tepuk dada tanyalah iman. Seterusnya gejala-gejala tersebut turut
membawa kepada pembaziran masa dan mensia-siakan waktu lapang.
Dalam konteks ujian
pula, Allah sering mendatangkan ujian kepada manusia untuk menguji tahap
keimanan seseorang. Terdapat dua bentuk ujian yang sering Allah turunkan kepada
manusia, iaitu : kesenangan dan kesusahan. Ujian kesenangan sebenarnya untuk
menguji sama ada seseorang manusia itu bersyukur atau kufur. Ujian ini boleh
menyesatkan lagi manusia atau mendekatkan lagi manusia kepada penciptanya
dengan bersyukur. Contoh ujian kesenangan yang acap kali dilihat adalah
kekayaan yang melimpah ruah. Seterusnya, ujian kesusahan merupakan ujian yang
Allah turunkan kepada hamba-Nya untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang
manusia. Setiap kesulitan dan kesusahan yang terjadi dalam hidup manusia itu
berlaku berdasarkan kemampuan manusia itu sendiri. Seperti firman Allah dalam
al-Quran :
Mafhumnya : “Allah
tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (surah
al-Baqarah:284)
Dan ketahuilah bahawa
setiap apa yang terjadi dalam hidup kita ini semuanya ada hikmah di mana kita
sendiri tidak mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung
di langit dan bumi. Kadang-kadang perkara yang kita suka itu sendiri membawa
kemudaratan kepada diri kita tetapi pekara yang kita benci itulah yang membawa
kebaikan kepada kita. Allah juga telah berfirman dalam ayat suci al-Quran :
Mafhumnya : “Boleh
jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu
tidak mengetahui” (surah al-Baqarah:216)
Jadi, janganlah kita
mudah melatah dengan setiap ujian yang mendatang dalam hidup kita. Bersabarlah
dan hadapinya dengan tenang dan redha. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang
yang bersabar. Terpulanglah kepada kita untuk menilai di mana baik dan buruk
kerana setiap manusia dikurniakan akal dan fikiran. Jangan jadi seperti
binatang yang hanya tahu bertindak tanpa berfikir.
Kesimpulannya, nikmat
dan ujian merupakan elemen penting yang akan menjadi rencah dalam kehidupan
kita. Kita akan menjadi mukmin yang kuat mental dan fizikal jika menggunakan
dua elemen ini pada jalan yang betul. Semua sedia maklum bahawa Allah lebih
suka mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah kerana mukmin yang kuat
diperlukan untuk menegakkan syiar Islam dan menjadi penggerak kepada dakwah
islamiyah. Ingatlah bahawa setiap ujian itu pasti terdapat nikmat di dalamnya
dan setiap nikmat itu merupakan salah satu ujian untuk menguji sama ada kita
bersyukur ataupun tidak. Akhir kalam, semua yang yang baik itu datangnya
daripada Allah, yang buruk itu datangnya dari saya sendiri, hakikatnya
kedua-duanya datangnya daripada Allah. Wallahua’lam.
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa berdukacita dengan kebaikannya dan
berdukacita dengan keburukannya, ia adalah mukmin” (riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Oleh,
Khairun Najwa
binti Ali