Barisan HEWI mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan.

Indahnya Berukhuwwah.

Salam Mujahadah.

Sunday, 27 December 2015

~Suami Sebelum Sebuah Perkahwinan~ [RF.8]





   Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

   Suami bermaksud pendamping hidup kita di dunia dan akhirat. Suami turut menjadi pembimbing kita di kala resah dan gembira. Beliau yang setia memberi nasihat dan tunjuk ajar jika kita tersalah langkah atau bicara. Tidak cukup dengan itu, pelbagai lagi tujuan seorang wanita memerlukan suami dalam kehidupannya. Namun, persoalannya di sini, adakah kita memerlukan  ‘suami’ sebelum berkahwin? Adakah perlu?
Jawapannya, sangat perlu!

   Jangan fikir terlalu jauh, cukuplah jawapannya ada di depan mata kita sekarang. Jadikanlah Al-Quran (sumber ilmu) sebagai suamimu kerana itulah kedudukan selayaknya dalam hati kita. Tidak ada perkara lain (novel , internet  dan sebagainya) dapat menandingi kedudukan Al-Quran. Bukan sekadar mengaji, tetapi mengkaji isi kandungannya. Kata-kata dari Dr. Daniel Zainal Abidin , tanpa kehadiran Islam (Al-Quran dan sunnah) dan umatnya, barat terus dalam kegelapan.

   Terdapat beberapa pesan terbaik di dalam buku ‘Pesan Untuk Hati’ karya Ustaz Pahrol Juoi, Rasulullah mendapat wahyu pertama ( IQRA’-Bacalah ) yang menyuruh Rasulullah membaca walaupun baginda buta huruf (ummi). Selepas Perang Badar, umat Islam mempunyai ramai tawanan perang, tawanan perang yang miskin dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak membaca dan menulis sehingga mahir, maka tawanan akan dilepaskan. Di situ , kita dapat lihat betapa Rasulullah sangat mengutamakan kemahiran membaca dan menulis sejak kecil lagi agar kemahiran itu dimanfaatkan untuk menimba ilmu.

   Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

   Kesimpulannya, jadikanlah Al-Quran sebagai suamimu yang akan menjadi pendamping hidup kita dunia dan akhirat. Al-Quran turut menjadi pembimbing kita di kala resah dan gembira. Al-Quran juga pilihan yang terbaik untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar jika kita tersalah langkah atau bicara kerana di situ tercatatnya kalam Allah.


Monday, 21 December 2015

LAPORAN RAUDHATUL ILTIZAM GABUNGAN

 

TARIKH: 18 DISEMBER 2015
HARI: JUMAAT
MASA: 7 MALAM
TEMPAT: DEWAN SYEIKH ABDUL QADIR AL- JAILANI, RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH

   Pada hari Jumaat, 18 Disember 2015, Hal Ehwal Wanita Islam Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir telah menganjurkan Program Raudhatul Iltizam Gabungan melibatkan semua ahli Raudhatul Iltizam RNSK. Program ini bermula pada jam 7 malam bertempat di Dewan Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani RNSK dan dipengerusikan oleh Ustazah Siti Nur Syuhaida binti Abu Hanizan. Majlis dimulakan dengan kehadiran ahli Raudhatul Iltizam dan bacaan Asmaul Husna. Seterusnya, setiap peserta dibahagikan mengikut kumpulan Raudhatul Iltizam masing- masing untuk meneruskan aktiviti permainan teka silang kata yang dikendalikan oleh Doktor Khairunnisa binti Noor Azli.

   Setiap kumpulan diberikan sehelai kertas yang mengandungi teka silang kata dan beberapa soalan yang berkaitan dengan bahan bacaan yang telah dibekalkan sebelum program bermula di mana setiap ahli perlu menjawab soalan tersebut tanpa merujuk semula kepada apa yang telah dibekalkan bagi menguji ingatan dan tahap keprihatinan ahli raudhah terhadap apa yang telah dibekalkan oleh naqibat masing masing. Setiap ahli raudhah dikehendaki untuk berbincang di mana setiap jawapan yang diberikan berperanan dalam mengumpul markah bagi kumpulan masing masing yang akan dibawa sehingga ke akhir program.

   Seterusnya, program diteruskan dengan permainan kotak beracun yang dikendalikan oleh Ustazah Siti Aisyah binti Maasir. Permainan ini memerlukan setiap ahli raudhah untuk duduk di dalam satu bulatan besar dan memastikan setiap orang yang duduk bersebelahan dengannya bukanlah dari kalangan ahli raudhahnya sendiri. Setelah muzik dimainkan, kotak beracun akan bergerak mengelilingi bulatan dan orang yang memegang kotak ketika muzik berhenti dikehendaki untuk mencabut sehelai kertas dan menjawab soalan yang tertulis di dalamnya, di mana soalan itu terdiri daripada bahan bacaan yang dibekalkan dan juga pengetahuan am. Setiap peserta yang menjawab soalan dengan betul akan menyumbang markah kepada kumpulannya dan diberi sedikit hadiah saguhati.

   Kemudian, sesi pengiraan markah setiap raudhah telah dijalankan oleh para naqibat sendiri dan hadiah telah disampaikan kepada setiap raudhah yang layak. Sebelum, mengakhiri majlis, Ustazah Faizah binti Baharudin telah mengetuai sesi muhasabah yang berkaitan dengan Adab Terhadap Ibu Bapa. Antara pengisian yang telah dibentangkan oleh beliau ialah berkenaan dengan definisi adab, kepentingan adab terhadap ibu bapa, kesan tidak beradab terhadap ibu bapa dan sedikit tayangan video yang berkait rapat dengan kehidupan bersama ibu bapa.
Program Raudhatul Itizam Gabungan ini akhirnya melabuhkan tirai pada kira- kira jam 9.30 malam dengan bacaan doa rabithah dan salam ukhwah melibatkan semua ahli raudhah berserta naqibat. Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan impak positif dan meningkatkan kualiti kepimpinan para naqibat di samping mengeratkan lagi ukhwah sesama ahli raudhah secara keseluruhannya.

Disediakan oleh,

Hal Ehwal Wanita Islam ,
Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir.


Friday, 18 December 2015

~Keunggulan Bahasa Arab~ [RF.7]





  


B

ahasa Arab. Menurut Sheikh Mustafa Al-Gulayaini: “Bahasa Arab adalah kalimat yang digunakan bangsa Arab dalam menyampaikan maksud atau tujuan mereka.”

Manakala Ahmad Al-Hasyimi mengatakan, bahasa Arab adalah suara-suara yang mengandungi sebahagian huruf hijaiyyah.


            Bahasa Arab adalah bahasa yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W dalam kehidupan baginda sama ada ketika bercakap, menyampaikan ilmu, menceritakan kisah-kisah orang terdahulu dan peristiwa yang akan datang di kemudian hari. Begitu juga bahasa ini menjadi bahasa di akhirat kelak. Rasulullah S.A.W bersabda: “Cintailah orang Arab kerana tiga perkara; kerana aku adalah orang Arab, Al-Quran itu berbahasa Arab dan ucapan ahli syurga adalah bahasa Arab.”


            Bahasa Arab adalah bahasa yang mulia dan tinggi darjatnya. Sungguh! Allah, Rabb Semesta Alam telah memilih bahasa Arab ini sebagai bahasa firman-Nya yang mulia. Sudah pasti bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Quran mengandungi hikmah dan bukan sembarangan. Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab agar kamu memahami.” (Surah Yusuf 12:2)


            Bangsa Arab sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah) sangat mengagungkan bahasa mereka dari segi susunan dan bunyi, kesan yang mendalam (atsar), makna yang mendalam dan juga kefasihan ketika menyampaikan. Jadi, pada masa itu bahasa arab sudah menjadi istimewa dan sangat hebat pada pandangan mereka. Kemudian datanglah satu kitab, iaitu Al-Quran.




            Apabila telah turunnya Al-Quran ini kepada Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan kalam Allah yang sememangnya dapat menyaingi dan mengalahkan kalam manusia, bangsa Arab yang angkuh dan keras hatinya itu tetap tidak dapat menerima hakikat bahawa kalam Allah lebih indah pada lafaznya, makna, gaya (uslub) penyampaiannya dan hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Al-Quran ini telah mengalahkan orang yang fasih pada zaman itu. Walaupun mereka cuba untuk menandingi Al-Quran dengan mendatangkan satu muka surat sepertinya, tetap juga tidak dapat. Sedangkan Al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka. Bahasa Arab. Menakjubkan!


            Al-Quran telah memberi pengaruh besar pada bahasa Arab ketika penurunannya pada masa itu. Antaranya:


1)      Al-Quran memperindah dan mencantikkan lafaz bahasa Arab.

2)      Muncul makna-makna baru dalam lafaz bahasa Arab seperti perkataan solat, zakat, mukmin, kafir, munafiq, ruku’, sujud dan perkataan-perkataan yang berkaitan agama Islam.

3)      Kecintaan terhadap Al-Quran menyebabkan orang Islam cinta untuk mendalami ilmu. Maka, berkembanglah ilmu-ilmu seperti Ilmu Qiraat, Tafsir, Hadith, ‘Ulum Hadith, Fiqh dan Usul Fiqh.

4)      Muncul ilmu-ilmu tentang kaedah bahasa Arab seperti Nahu dan Sorf.


Kesimpulannya, Allah telah menjadikan Al-Quran itu sendiri mempunyai kelebihan yang agung yang mana dengannya, bahasa Arab itu tidak akan pernah pupus dan menjadikan bahasa Arab itu bahasa yang hidup tidak seperti bahasa-bahasa lain.





Cik_Kasturi.