Sunday, 27 December 2015

~Suami Sebelum Sebuah Perkahwinan~ [RF.8]





   Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

   Suami bermaksud pendamping hidup kita di dunia dan akhirat. Suami turut menjadi pembimbing kita di kala resah dan gembira. Beliau yang setia memberi nasihat dan tunjuk ajar jika kita tersalah langkah atau bicara. Tidak cukup dengan itu, pelbagai lagi tujuan seorang wanita memerlukan suami dalam kehidupannya. Namun, persoalannya di sini, adakah kita memerlukan  ‘suami’ sebelum berkahwin? Adakah perlu?
Jawapannya, sangat perlu!

   Jangan fikir terlalu jauh, cukuplah jawapannya ada di depan mata kita sekarang. Jadikanlah Al-Quran (sumber ilmu) sebagai suamimu kerana itulah kedudukan selayaknya dalam hati kita. Tidak ada perkara lain (novel , internet  dan sebagainya) dapat menandingi kedudukan Al-Quran. Bukan sekadar mengaji, tetapi mengkaji isi kandungannya. Kata-kata dari Dr. Daniel Zainal Abidin , tanpa kehadiran Islam (Al-Quran dan sunnah) dan umatnya, barat terus dalam kegelapan.

   Terdapat beberapa pesan terbaik di dalam buku ‘Pesan Untuk Hati’ karya Ustaz Pahrol Juoi, Rasulullah mendapat wahyu pertama ( IQRA’-Bacalah ) yang menyuruh Rasulullah membaca walaupun baginda buta huruf (ummi). Selepas Perang Badar, umat Islam mempunyai ramai tawanan perang, tawanan perang yang miskin dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak membaca dan menulis sehingga mahir, maka tawanan akan dilepaskan. Di situ , kita dapat lihat betapa Rasulullah sangat mengutamakan kemahiran membaca dan menulis sejak kecil lagi agar kemahiran itu dimanfaatkan untuk menimba ilmu.

   Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

   Kesimpulannya, jadikanlah Al-Quran sebagai suamimu yang akan menjadi pendamping hidup kita dunia dan akhirat. Al-Quran turut menjadi pembimbing kita di kala resah dan gembira. Al-Quran juga pilihan yang terbaik untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar jika kita tersalah langkah atau bicara kerana di situ tercatatnya kalam Allah.