Friday, 18 December 2015

~Keunggulan Bahasa Arab~ [RF.7]





  


B

ahasa Arab. Menurut Sheikh Mustafa Al-Gulayaini: “Bahasa Arab adalah kalimat yang digunakan bangsa Arab dalam menyampaikan maksud atau tujuan mereka.”

Manakala Ahmad Al-Hasyimi mengatakan, bahasa Arab adalah suara-suara yang mengandungi sebahagian huruf hijaiyyah.


            Bahasa Arab adalah bahasa yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W dalam kehidupan baginda sama ada ketika bercakap, menyampaikan ilmu, menceritakan kisah-kisah orang terdahulu dan peristiwa yang akan datang di kemudian hari. Begitu juga bahasa ini menjadi bahasa di akhirat kelak. Rasulullah S.A.W bersabda: “Cintailah orang Arab kerana tiga perkara; kerana aku adalah orang Arab, Al-Quran itu berbahasa Arab dan ucapan ahli syurga adalah bahasa Arab.”


            Bahasa Arab adalah bahasa yang mulia dan tinggi darjatnya. Sungguh! Allah, Rabb Semesta Alam telah memilih bahasa Arab ini sebagai bahasa firman-Nya yang mulia. Sudah pasti bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Quran mengandungi hikmah dan bukan sembarangan. Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab agar kamu memahami.” (Surah Yusuf 12:2)


            Bangsa Arab sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah) sangat mengagungkan bahasa mereka dari segi susunan dan bunyi, kesan yang mendalam (atsar), makna yang mendalam dan juga kefasihan ketika menyampaikan. Jadi, pada masa itu bahasa arab sudah menjadi istimewa dan sangat hebat pada pandangan mereka. Kemudian datanglah satu kitab, iaitu Al-Quran.




            Apabila telah turunnya Al-Quran ini kepada Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan kalam Allah yang sememangnya dapat menyaingi dan mengalahkan kalam manusia, bangsa Arab yang angkuh dan keras hatinya itu tetap tidak dapat menerima hakikat bahawa kalam Allah lebih indah pada lafaznya, makna, gaya (uslub) penyampaiannya dan hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Al-Quran ini telah mengalahkan orang yang fasih pada zaman itu. Walaupun mereka cuba untuk menandingi Al-Quran dengan mendatangkan satu muka surat sepertinya, tetap juga tidak dapat. Sedangkan Al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka. Bahasa Arab. Menakjubkan!


            Al-Quran telah memberi pengaruh besar pada bahasa Arab ketika penurunannya pada masa itu. Antaranya:


1)      Al-Quran memperindah dan mencantikkan lafaz bahasa Arab.

2)      Muncul makna-makna baru dalam lafaz bahasa Arab seperti perkataan solat, zakat, mukmin, kafir, munafiq, ruku’, sujud dan perkataan-perkataan yang berkaitan agama Islam.

3)      Kecintaan terhadap Al-Quran menyebabkan orang Islam cinta untuk mendalami ilmu. Maka, berkembanglah ilmu-ilmu seperti Ilmu Qiraat, Tafsir, Hadith, ‘Ulum Hadith, Fiqh dan Usul Fiqh.

4)      Muncul ilmu-ilmu tentang kaedah bahasa Arab seperti Nahu dan Sorf.


Kesimpulannya, Allah telah menjadikan Al-Quran itu sendiri mempunyai kelebihan yang agung yang mana dengannya, bahasa Arab itu tidak akan pernah pupus dan menjadikan bahasa Arab itu bahasa yang hidup tidak seperti bahasa-bahasa lain.





Cik_Kasturi.