Wednesday, 1 March 2017

(RF:5) Permusafiran Wanita dan Klasifikasinya.

Permusafiran wanita merupakan satu isu yang amat menarik untuk dibincangkan dan diberi perhatian oleh semua pihak. Walaupun sebenarnya kini ia seolah-olah sudah tenggelam dalam kemelut kesibukan manusia yang lebih menjuruskan diri dalam era teknologi.
Rasulullah SAW pernah bersabda perihal tempat solat yang terbaik bagi seorang wanita.

Hadis dadi Ummu Salamah RA :
أن رسوا الله صلى الله عليه وسلم قال : خير مساجد النساء قعر بيوتهن
Maksudnya: Sebaik-baik masjid (tempat solat) bagi wanita adalah di pelosok rumah mereka.

Walaupun Rasullullah tidak melarang wanita untuk ke masjid tetapi baginda menegaskan bahawa solat di rumah lebih afdhal bagi wanita daripada solat di masjid. Taujihat nabawi ini menjadi dalil bahawa Islam amat menyukai wanita menetap di rumah. Sekiranya Islam menggalakkan wanita keluar dari rumah, nescaya  baginda mesti menggalakkan wanita berkunjung ke masjid kerana masjid merupakan tempat yang paling selamat dana man daripada fitnah bagi seorang wanita jika dibandingkan dengan tempat yang lain.

Sekiranya kita meneliti arus kemodenan dan ketamadunan dewasa ini memang kita dapati wanita keluar dari rumah dengan pelbagai sebab.

Antaranya untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bekerjaya, bepersatuan dan sebagainya. Mereka telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk menggilap bakat, kreativiti dan kemahiran dalam bidang yang mereka minati dan ceburi berlandaskan hudud-hudud Ilahi. Namun demikan Islam tidak sewenang-wenangnya membenarkan mereka bermusafir tanpa memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syara'.

Kita melihat dari sudut bidang kerjaya, seseorang wanita perlu mematuhi  segala ketetapan yang telah ditentukan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah serta MAqasid Syariah sebagaimana berikut :
• Hendaklah wanita tersebut mendapatkan keizinan daripada walinya atau suaminya untuk keluar bekerja.

• Pekerjaan yang hendak dilakukan itu adalah pekerjaan yang diharuskan syara'.

• Hendaklah melazimi adab-adab yang ditentukan oleh syara' sebagai seorang wanita muslimah yang meliputi pemakaian, gaya berjalan, percakapan, pandangan ( segala gerak-geri).

• Pekerjaan tersebut tidak menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tanggungjawab dan tugasan asasinya terhadap suami dan anak-anak serta pengurusan rumah tangga.

• Pekerjaan yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan fitrah mereka yang lembut seperti bekerja sebagai buruh binaan, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya yang biasa dilakukan oleh kamu lelaki.

• Tidak menyebabkan penguasaan wanita terhadap kaum lelaki.
Berusaha menjauhi kerja yang boleh berlaku khalwat dan ikhtilat.

Demikianlah beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama'. Ia mesti dijaga oleh wanita yang ingin bekerja diluar.

Klasifikasi permusafiran terbahagi kepada :

Permusafiran ketaatan : contoh haji dan jihad.

Permusafiran harus : contoh berniaga.
Permusafiran maksiat : contoh menyamun dan merompak.

Imam Ghazalli Rahimullah mengklasifikasikan permusafiran kepada beberapa kategori iaitu:

• Musafir dalam menuntut ilmu, iaitu sama ada wajib atau sunat bergantung kepada ilmu tersebut untuk dituntut.

• Musafir kerana tuntutan haji dan jihad iaitu musafir kerana untuk beribadah.

• Musafir kerana ingin lari daripada yang membawa keburukan kepada badan seperti penyebaran penyakit taun ataupun keburukan pada harta seperti harga tepung yang mahal atau apa sahaja yang seumpama dengannya.

Kemudian Imam Ghazalli Rahimullah mengatakan pula bahawa permusafiran terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Permusafiran yang dikeji.
Haram: contohnya hamba yang melarikan diri daripada tuannya dan lari kerana derhaka kepada kedua ibu dan bapa atau salah seorang daripadanya.

Permusafiran yang dipuji.
Wajib : contohnya menunaikan haji dan menuntut ilmu yang manaia adalah kefardhuan terhadap setiap muslim.
Sunat : contohnya menziarahi ulama' dan warisan ulama' Islam.

Permusafiran yang diharuskan.
Contohnya keluar bermusafir untuk memenuhi keperluan hidup seperti berniaga dan mengajar dan sebagainya.

Dalam kitab Mufassal Fii Ahkam al-Mar'ah menjelaskan bahawa permusafiran wanita kerana menuntut ilmu adalah diharuskan sama ada menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat. Walau bagaimanapun ia menjadi wajib sekiranya berkaitan dengan fardhu kifayah dalam keadaan tiada seorang pun mempelajarinya dalam sesebuah negara ataupun bandar.

Semoga beroleh manfaat dari coretan ini. Sirru ala barakatillah.

Oleh : tholibatulIlmi92