Tuesday, 29 January 2013

sharpen your potential



Pada hari Rabu bertarikh 23 Januari 2013 pihak Hewi MTPANSM telah menganjurkan sebuah program bersiri Cerah Softskill iaitu ‘Sharpen Your Potential’ . Bertempatkan di surau indah RNSK program dimulakan tepat jam 8:15 minit malam dengan alunan zikir-zikir.Objektif program ini diadakan untuk melahirkan seorang mahasisiwi yang berketrampilan( berani ke hadapan) dan memiliki jati diri yang berkualiti. Program ini diadakan khusus untuk semua serikandi Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK) bagi melatih dan memantapkan kemahiran diri yang ada dalam diri setiap serikandi . Penceramah dijemput khas dari Alexandaria iaitu Ustazah Siti Iziatul Hawa binti Yusuf.


  Perbincangan dan perkongsian yang telah di ketengahkan oleh penceramah tersebut ialah tentang seni komunikasi berkesan iaitu pengucapan umum. Menurut saudari penceramah, selaku seorang mahasiswi dan remaja muslimah kita tidak seharusnya terikat dengan tugasan belajar semata-mata, bahkan kita perlu untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam melatih kemahiran dan mempertingkatkan potensi diri khususnya dalam bidang pengucapan umum.
Saudari penceramah yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Bahasa Arab itu mengatakan tidak semua orang itu fasih apabila bercakap di hadapan khalayak ramai. Akan tetapi, kefasihan itu bisa dipupuk dan disemai dalam diri masing-masing sekiranya kita mengetahui cara-cara yang sebenar dalam menyampaikan sebuah pengucapan umum tersebut.


 Antara isi-isi yang dibincangkan dalam slot ‘Sharpen Your Potential’ ini ialah bagaimana untuk menyampaikan sebuah pengucapan umum yang berkesan dan terkesan dengan mengetahui teknik-teknik umum sesebuah pengucapan umum. Teknik-teknik umum tersebut termasuklah pemilihan tajuk yang sesuai, merangka isi-isi yang bernas, penyampaian yang baik dan mengutamakan bahasa yang baik serta kelancaran yang fasih.
Selain mengetahui teknik-teknik umum, latihan berkala perlu dilakukankan agar keyakinan diri dapat ditingkatkan di samping mengurangkan kesalahan sebutan yang berulang semasa penyampaian ucapan umum tersebut. Selesai sahaja pengkongsian, praktikal pula dilakukan. Penceramah menjemput wakil beberapa orang mahasisiwi untuk mempraktikkan apa yang telah dibincangkan sebelum ini. Setiap mereka yang ke hadapan mempraktikkan teori-teori yang telah dipelajari dalam membaca teks Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Reaksi kesemua mahasiswi dan serikandi RNSK sangat positif dan menunjukkan minat yang mendalam untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan potensi dan kemahiran diri. Program bersurai tepat jam 10:30 malam. Nantikan siri yang akan datang. Allah Mustaan.