Dalam kehidupan seharian kita tidak akan lari dengan perasaan suka, duka, gembira, sedih dan sebagainya. Manusia tidak akan bahagia bilamana manusia itu tidak mengerti apa itu bahagia. Di sini ingin saya kongsikan resepi bahagia kepada semua.
1) SENYUM
Selalu orang berkata bahawasanya senyum itu satu sedekah. Bilamana setiap hari kita mulakan hari kita dengan senyuman kehidupan kita akan rasa amat bahagia. Dipetik dari sebuah kata-kata yang berbunyi “Satu-satunya perkara yang akan membuatkan kita tetap senyum walaupun kita sedang bersedih adalah dengan mengetahui Allah sentiasa sayang kita.”
2) HUSNU DZON DENGAN ALLAH
Bilamana kita dalam kesedihan dan diuji dengan kesusahan, ramai orang yang akan berburuk sangka kepada Allah sedangkan Allah telah memberi segala nikmat yang tidak terhingga. Persoalannya bagaimanakah kita bersyukur dengan nikmat Allah itu?
Seharusnya kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah, boleh jadi apa yang diatur oleh Allah itu lebih baik dari apa yang kita inginkan, dan boleh jadi apa yang kita inginkan itu tidak diredhai oleh Allah sama sekali. Dipetik dari kalam Imam Syafie yang berbunyi:
“Aku mengadu kepada guruku Imam Waqi’ tentang kenapa sulit menghafal, lalu ia memintaku meninggalkan maksiat. Dia juga menegaskan kepadaku bahawa ilmu itu cahaya dari Allah S.W.T, maka cahaya itu tidak akan disinarkan kepada ahli maksiat”.
3) BERSYUKUR DAN REDHA
Bahagianya seseorang itu apabila dia bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah sama ada sikit ataupun banyak. Kerana dengan syukur kepada Allah hati akan menjadi tenang dan damai. Kenapa kita perlu redha dengan ketentuan Allah? Kenapa hati kita selalu memberontak tatkala apa yang dirancang tidak menjadi? Mengapa dan mengapa? Mengapa banyak yang kita tidak berpuas hati dengan takdir qada’ dan qadar Allah? Sebab hati kita sudah hitam dan tidak melakukan segala suruhan Allah dengan hati yang ikhlas.
Firman Allah S.W.T:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain (kerana) bagi orang-orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisa:32)
4) POSITIF
Mengapa kita perlu sentiasa berfikiran positif? Dan mengapa juga kita sentiasa berfikiran negatif pada seseorang? Banyak sebab mengapa kita perlu berfikiran positif dengan semua orang sekeliling kita kerana masyarakat di sekeliling kita tidak akan lari dengan kehidupan kita. Dipetik kata-kata Prof Dr Muhaya:
“Setiap kali kita mengkritik orang lain kita telah menjatuhkan martabat kita. Orang Berjaya hanya focus pada apa yang dia suka dan positif. Mereka ‘ignore’ manusia dan peristiwa negatif dan menggunakan tenaga kearah tujuan hidup mereka. Kita jangan mengharap pada orang lain untuk mengatasi masalah kita. Ambil tanggungjawab dan banyak berdoa. Hati manusia dalam genggaman Allah. Siapa yang Allah sayang manusia akan sayang. Kalau isteri atau suami tak sayang bererti kemungkinan Allah tak sayang. Ubah dunia dalaman untuk ubah dunia luaran kita. Hormati ‘privacy’ orang lain. Kalau kita tak suka diganggu, manusia lain juga tidak suka diganggu.”
5) SALING BANTU- MEMBANTU
Allah SWT telah memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman supaya saling menolong dan bekerjasama dengan syarat mestilah atas dasar kebenaran dan ketakwaan, dan melarang mereka untuk tolong-menolong dan bekerjasama dalam perkara yang haram dan pencabulan. Dalam skop kita yang kecil ini, dimana kita jauh dengan keluarga,maka marilah sama-sama kita saling membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
Ibnu Katsir berkata dalam menafsirkan ayat (bermaksud):
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa,dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran,” (Al-Maidah:2)