Monday, 7 March 2016

~Peranan Muslimah Sebagai Dai'eah~ [RF.15]





    Penglibatan muslimah dalam gerakan dakwah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contohnya apa yang dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti Saiditina Khadijah Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam.

   Juga, Nusaibah yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumayyah sebagai orang yang pertama medapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah lebih luas daripada sekadar beroperasi di rumah.

    Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia sama ada lelaki mahupun perempuan merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslim dan muslimah.

    Kebanyakan perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yamg merangkumi lelaki dan wanita. Islam tidak membezakan sama sekali antara mereka dari sudut tanggungjawab di atas muka bumi mahupun pembalasan di akhirat nanti.

    Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah mestilah berusaha ke arah pelaksanaan cita-cita Iman dan Islam ke dalam realiti kehidupan. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita-cita yang tidak dicernakan ke dalam realiti. Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.

    Dalam konteks dakwah, terdapat tiga marhalah yang mesti dilalui untuk menjamin keberkatan usaha yang dilakukan. Tiga marhalah itu ialah:

Pertama – Marhalah Taarif iaitu pengenalan dalam konteks perkaderan individu muslimah yang faham dan amal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah dalam jihad. Ini dapat direalisasikan sekiranya muslimah tadi berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadat dan hubungannya dengan Allah melalui ketaatan seperti yang diwajibkan.

Kedua – Marhalah Takwin iaitu peringkat yang merasakan diri dibentuk sifat rasa masu’liyyah yang tinggi. Masu’liyyah ini yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didukungnya. Dalam marhalah ini, kewujudan sebagai nuclus terpenting dalam gerakan Islam merupakan satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Sehubungan itu, muslimah berperanan untuk menjadi isteri solehah yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan besar untuk memastiakan tarbiyatul aulad berjalan dalam biah Islami.

Ketiga – Marhalah Iltizam iaitu peringkat memberi komitmen yang tinggi terhadap pengisian dan kefahaman kepada Islam. Islam yang hanya diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Ada 3 unsur utama yang harus diperhatikan:
Iman yang mendalam.

    Penyusunan organisasi dan gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.  
Kerja dan komitmen yang dibuat mestilah berterusan dan bukan hanya kerana masa tertentu, bukan kerana kawan dan suasana.
Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendiri untuk membawa risalah Islam.

    Seperti mana firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang dijalan-Nya dalam satu saf seolah-seolah satu bangunan yang tersusun rapi”. (Surah As-Saf)

     Jelaslah di sini menunjukkan ketiga-tiga marhalah ini, mengajak muslimah ke medan dakwah Islamiyyah demi memberi kefahaman Islam kepada ummah.


kayazmin