Barisan HEWI mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan.

Indahnya Berukhuwwah.

Salam Mujahadah.

Thursday, 30 March 2017

Cecair-cecair keluar dari Faraj Wanita dan hukum -hukumnya.

بسم الله الرحمن الرحيم

Wanita mempunyai martabat yang sangat mulia di sisi Islam. Hadirnya Islam membuatkan wanita lebih memahami keadaan dirinya sendiri dan kejadian-kejadian yang berlaku sekitar dirinya. Insha Allah, dikesempatan kali ini, saya akan cuba mengupas bab yang paling dekat dengan wanita iaitu bab cecair-cecair yang keluar dari faraj wanita dan hukum-hukumnya.

Jenis- jenis Cairan Yang Terdapat Pada Wanita

Air wadiIa merupakan sejenis cecair putih kental yang keluar selepas membuang air kecil (kencing). Memandangkan ia keluar selepas kencing, maka hukumnya seperti air kencing, yakni ia membatalkan wuduk dan boleh dibersihkan dengan air.

Air maziIa adalah sejenis cecair yang nipis, jernih (‘clear’) dan licin seperti pelincir. Ia keluar apabila timbulnya syahwat, seperti apabila suami-isteri memulakan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau berangan-angan sesuatu yang memberahikan.Air mazi membatalkan wuduk dan hendaklah dibersihkan dengan cara membasuh vagina dengan air.

[Shahih al-Bukhari, no: 261] 

Jika air mazi terkena pakaian, memadai dengan merenjis atau memercik dengan air.
Rasulullah member tunjuk ajar: Cukuplah kamu mengambil air sepenuh telapak tanganmu, lalu percikkan pada bahagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 210].Memandangkan air mazi adalah jernih, agak sukar untuk mengetahui di bahagian mana ia mengenai pakaian. Maka memadailah memercikkan air pada bahagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi tanpa perlu membasuh keseluruhan pakaian.

Air maniIa merupakan cecair berbau yang keluar tatkala berlakunya kemuncak syahwat (klimaks).Bagi lelaki ia agak pekat sementara bagi wanita ia agak cair.

Air mani keluar apabila suami isteri melakukan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau bermimpi, lazim disebut sebagai mimpi basah.Berkenaan air mani, sebahagian orang berpendapat wanita tidak mengeluarkan air mani. Pendapat ini dijawab bahawa wanita juga mengeluarkan air mani, hanya air mani wanita tidak mengandungi sperma sebagaimana air mani lelaki. Dalilnya ialah hadis berikut, di mana Umm Sulaim telah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang hak. Apakah bagi wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Rasulullah wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air mani.” Umm Salamah (isteri Rasulullah yang turut hadir) menutupi wajahnya (kerana malu) seraya bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita itu bermimpi (basah)?” Baginda menjawab: “Ya.” [Sebahagian daripada hadis Shahih al-Bukhari, no: 127].

Apabila seorang wanita mengeluarkan air mani, dia berada di dalam keadaan junub dan hendaklah membersihkan dirinya dengan Mandi Wajib.

Jika Air Mani terkena pakaian, maka ia dibasuh dengan air jika masih basah [Shahih Muslim, no:436] atau dikerit (kikis dengan kuku) jika sudah kering [Shahih Muslim, no: 435]. Di antara tiga jenis cecair yang keluar ini, hendaklah dibezakan bahawa untuk air wadi dan air mazi, memadai membasuh dengan air, lalu berwuduk, sementara untuk air mani hendaklah melalui Mandi Wajib. Seperkara lain, apabila disebut onani (‘masturbate’), ia hanyalah untuk pengetahuan umum. Ia tidak bererti, Islam mahu pun penulis menganjurkan perbuatan tersebut.

Cairan lain daripada diri sendiri.
Kadangkala ada cairan yang keluar namun sudah dikenal pasti ia bukan darah haid, bukan cairan kuning, putih, coklat yang berkaitan dengan haid, bukan darah nifas, bukan darah istihadhah dan bukanjuga air kencing, air wadi, air mazi mahu pun air mani. Lalu apakah hukum cairan ini? Di antara ilmuwan Islam, ada yang berpendapat cairan tersebut adalah najis. Ia membatalkan wuduk dan hendaklah vagina serta pakaian yang mengenainya dibasuh dengan air. Mereka berhujah bahawa semua yang keluar melalui qubul dan dubur adalah najis. Walau bagaimanapun ada juga yang berpendapat, cairan tersebut bukan najis dan tidak membatalkan wuduk. Ini kerana manusia pada asalnya adalah suci dan apa yang dianggap sebagai najis dan/atau membatalkan wuduk hendaklah berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Memandangkan dalam hal ini tiada dalil, maka ia bukan najis dan tidak membatalkan wuduk. Namun boleh saja bagi seseorang itu membersihkan vaginanya dan mengambil wuduk apabila hendak solat, sebagai langkah kebersihan tambahan. 

Cairan dari sumber lain.
Ada kalanya keluar cairan vagina dari sumber yang lain. Misalnya, air mani suami yang mengalir keluar dari vagina isterinya setelah mereka melakukan hubungan seks. Contoh lain, setelah membasuh vagina daripada air mazi, darah haid atau lain-lain, ada air basuhan yang mengalir keluar. Dalam kes ini, memadai bagi wanita tersebut mengelap kering cairan tersebut tanpa perlu mengambil wuduk, mengulangi wuduk atau Mandi Wajib.

Cairan kerana penyakit Dalam kes terpencil, ada wanita yang vaginanya sentiasa lembap dengan cairan, umpama air mazi. Sudah dipastikan oleh para doktor bahawa ia adalah sejenis penyakit dan bukan disengajakan oleh wanita tersebut. Dalam kes ini, ia diqiyaskan kepada darah istihadhah di mana cairan tersebut tidak membatalkan wuduk kerana ia adalah penyakit yang dimaafkan.

Wallahua’lam.

Sumber sekunder : Karangkraf

Amirah

Wednesday, 22 March 2017

(RF:8) Musim Panas Bukan Penghalang...


خلق السموات والأرض بالحق يكور اليل على النهار و يكور النهار على اليل و سخر الشمس والقمر كل يجري لأجل مسمى ألا هو العزيز الغفر
Mafhumnya : Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar.Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan,masing-masing berjalan menurut waktu yang ditetapkan.Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Merujuk pada ayat diatas,dapatlah kita fahami bahawasanya Allah Subhanahu Wataala telah menciptakan langit dan bumi ada tujuannya yang tersendiri.Dimana saranan yang menunjukkan waktu siang adalah waktu kita mencari nafkah dan berkerja dan malam adalah waktu kita banyakkan beribadat kepada Allah.

Oleh yang demikian,memandangkan musim panas bakal menjelma,adakah kita sudah bersedia menghadapinya?! Adakah kita akan memberi alasan cuaca panas untuk tidak hadir ke kuliah?! Atau adakah cuaca panas juga alasan untuk tidak berpuasa sunat?!

Baiklah disini saya akan kongsikan tip-tip persediaan bagi menghadapi musim panas dan serta merta menolak semua alasan yang bakal kita cipta.Antaranya ialah :

• Minum air masak / mineral sekurang-kurangnya 2 liter sehari bagi menggantikan air yang telah dinyahkan dari badan.

• Gunakan krim pelindung matahari dan losyen yang bersesuaian dengan kulit anda bagi mengekalkan kelembapan kulit.

• Kurangkan aktiviti luar jika suhu terlalu panas mengikut ramalan kaji cuaca.

• Memakai pakaian yang berunsurkan kapas supaya peluh diserap dengan baik/tukar baju dengan kerap/elakkan dari memakai pakaian yang berwarna gelap.

• Sejukkan badan terlebih dahulu sebelum mandi dan elakkan membasuh muka dalam keadaan berpeluh atau panas terutamanya selepas melakukan aktiviti luar.

• Elakkan berada di kawasan yang sesak bagi mengelak dari terkena jangkitan.

• Menggunakan kaca mata hitam dan penutup kepala untuk mengelakkan diri terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga kesihatan diri serta memberikan semangat dalam diri kita dalam menghadapi musim panas ini dengan tenang dan sabar. Insha Allah...Semoga bermanfaat (

Thursday, 16 March 2017

(RF:7) BAITUL MAQDIS HARI INI


BAITULMAQDIS 12 Mac – Beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan bantahan selepas Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid.

Penunjuk perasaan berarak di sepanjang Bandar Kabul, utara Israel sambil memegang bendera Palestin dan sepanduk yang tertulis: ‘Jangan menutup mulut muazin’ serta ‘Undang-undang terhadap muazin tidak akan berjaya’.

Rabu lalu, Parlimen Israel memberi kelulusan awal kepada dua rang undang-undang baharu yang mengehadkan laungan azan di masjid-masjid sekitar Israel serta timur Baitulmaqdis. Salah satu daripada rang undang-undang berkenaan juga menghalang penggunaan pembesar suara masjid sepanjang masa.

Undang-undang itu diluluskan selepas satu perbincangan hangat yang bertukar menjadi perbalahan antara anggota gabungan pemerintah serta ahli Parlimen berketurunan Arab. Ada antaranya yang me­ngam­bil tindakan mengoyakkan draf undang-undang tersebut dan ter­paksa diarahkan keluar dewan ekoran perbalahan itu.

Walaupun rang undang-undang tersebut secara teorinya dikuatkuasakan kepada tempat beribadat bagi semua agama, namun penduduk Islam menegaskan tindakan itu adalah jelas bagi menyekat laungan azan. Kumpulan penyokong Israel menegaskan undang-undang itu adalah wajar bagi mengelakkan sebarang gangguan.

Jadi, sama-samalah kita berdoa agar hak umat Islam kita sentiasa dibela dan yakin janji Allah itu pasti.

Wednesday, 8 March 2017

PENGUKIR SEJARAH- 4 WANITA UNGGUL


    ☀Mentari memanah kota Cairo dan kadangkala hembusan pawana berpuput dingin. Mungkin sedang menghembuskan hembusan musim sejuk terakhir untuk kesekian kalinya, mengalukan kedatangan musim panas yang sudah lama berhibernasi. Meraup wajah.

    Berdiri di tengah debuan dengan kenderaan yang sesak, jammed dan zahmah. Ya, kesesakan dan Mesir itu berpisah tiada. Pengalaman bermukim di bumi ini telah membuka persediaan demi persediaan untuk menghadapi segalanya. Biiznillah. Sekilas, perhatian dicuri oleh beberapa orang mahasiswi Arab dengan pelbagai ajnas dan ekspresi wajah. Melihatkan wanita-wanita Arab ini, terteleport seketika fikiran mengenai wanita terunggul ke dimensi berjuta abad lamanya, zaman mereka para Rasul...
.
.
.
✨Sabda Rasulullah S.A.W: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita. Mereka itu adalah Asiah Binti Muzahim, Maryam Binti Imran, Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad."

     Wanita-wanita unggul itu, dijanjikan syurga buat mereka malah disabdakan oleh Rasul dalam titahnya, mereka adalah penghulu segala wanita. Pesona..
.
.
Siapakah mereka dan mengapakah mereka merupakan wanita paling hebat? Sempena Hari Wanita Sedunia yang bakal menjelang 8 Mac ini. Mari kita jejak kembali riwayat hidup wanita-wanita ini.

1. Asiah Binti Muzahim - Isteri Fir'aun
.
.
Asiah adalah simbol kekuatan bagi kaum wanita yang beriman kerana dia sanggup mempertahankan keimanannya kepada Allah walaupun dia perlu mengharungi kehidupan dengan suaminya, Fir’aun yang tidak beriman kepada Allah.

Asiah pernah berkata:
“Wahai Fir’aun, kau boleh seksa zahir aku, sedangkan batin aku tidak engkau boleh potong badan aku, iman aku tidak."

Ucapan itu dikatakan oleh Asiah tatkala menerima seksaan dari Fir’aun. Ketabahan Asiah memelihara syahadah Allah S.W.T telah diabadikan di dalam Al-Quran, menerusi surah At-Tahrim ayat 11 yang bermaksud.

"Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam Syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim"

Dialah wanita paling bijaksana dan berpandangan jauh. Dia tidak membuat keputusan untuk melarikan diri daripada suaminya walaupun suaminya seorang yang kejam. Malahan, dia memilih untuk bersabar.

Dia menunggu ganjaran Allah dan langsung tidak kisah dengan apa yang menimpa dirinya kerana keyakinannya yang begitu tinggi bahawa tiada sia-sia setiap ketetapan Allah itu walaupun derita yang diperolehnya setiap saat. Ganjaran dan tujuan hidupnya sangat jelas iaitu hidup dan mati kerana Allah. Subhanallah, mampukan aku menjadi sehebat Asiah?

2. Maryam Binti Imran - Ibu Nabi Isa AS
.
.
Maryam binti Imran adalah ibu kepada Nabi Isa A.S.

Apabila Maryam dewasa, dia pulang ke kampungnya di Nasharat. Di sinilah dia mendapat amanat agung bahawa dia akan mengandung seorang anak lelaki.

Sebagaimana Allah abadikan kisah ini di dalam Al-Qur’an surah Maryam ayat ke 42 & 45 yang bermaksud: 

"Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: 'Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (di masanya)'”. (Maryam: 42). 

“(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al-Masih ‘Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah).” (Maryam: 45)

Maka Allah S.W.T menunjukkan kebesaranNya dengan meniupkan roh melalui Malaikat Jibril ke dalam rahim Maryam. Apabila Maryam pulang ke Jerusalem, dia dalam keadaan mengandung.

Disinilah bermula keimanan dan ketaqwaan Maryam apabila dia diuji dengan pelbagai fitnah yang menghujani dirinya. Masyarakat memandangnya dengan buruk dan menuduh dia sebagai seorang penzina. Masyaallah, serasa berat ujian terhadap diri kerdil ini, berat lagi ujian yang Kau timpakan pada mereka. Sungguh, ketabahanmu, kekagumanku.

3. Siti Khadijah Binti Khuwailid - Isteri Rasulullah S.A.W
.
.
Siti Khadijah binti Khuwailid adalah wanita pertama yang memeluk Islam dan juga isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dia dikenali sebagai ‘Ummul Mukminin’ iaitu ibu orang mukmin.

Khadijah adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka menolong orang yang lemah dan yang memerlukan.

Isteri Rasulullah ini adalah wanita muslim yang patut dicontohi oleh umat Islam. Dia telah melakukan tugas yang hebat sebagai pendamping dan isteri Rasullah S.A.W. Dia telah memberikan dorongan dan semangat kepada Rasulullah S.A.W. Meskipun tanggungjawabnya sebagai pengurus rumah tangga amat besar, namun dia berjaya membantu ekonomi keluarga dan juga masyarakat sekitarnya.

Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Ketika aku miskin, Khadijah memberiku kekayaan. Ketika orang menganggapku gila, ia tetap percaya kepadaku.”

Siti Khadijah memiliki pemikiran tentang keIslaman yang cukup penting. Beliau sering berkata bahawa manusia adalah makhluk yang merupakan sumber penjelmaan daripada kebesaran Allah S.W.T. Allah memerhatikan kelakuan manusia dan memberikan ganjaran. Ya Robb, alangkah indahnya jika aku dapat bersama mereka dalam memperjuangkan agamaMu. 😭

4. Fatimah Binti Muhammad - Puteri Rasulullah S.A.W
.
.
Fatimah Binti Muhammad adalah puteri kepada Rasullah S.A.W.

Situasi yang dihadapi keluarganya, membuatkan Fatimah kehilangan keseronokan semasa kecilnya. Tetapi Fatimah tidak pernah menyesal, dia rela meninggalkan masa kanak-kanaknya untuk menghadapi derita bersama keluarganya. Semenjak Muhammad s.a.w menyampaikan ajaran Islam, kaum Quraisy menjadi kejam terhadap keluarga mereka.

Fatimah menghadapi berbagai tindakan kekerasan dari mereka yang tidak mahu menerima ajaran Islam. Walaubagaimanapun, Fatimah gembira kerana keadaan ini membuatkan hubungan keluarga mereka kembali erat.

Sejak kecil, Fatimah telah mengalami derita penganiayaan bersama ayahnya. Pada satu ketika, Fatimah berjalan di samping ayahnya menuju Ka’abah dan dilihat oleh kaum Musyrikin dan serentak dengan itu mereka berteriak manyatakan Muhammad adalah orang yang bodoh yang menyatakan kebesaran Tuhannya. Dengan penuh kelembutan dan kesabaran Muhammad menyatakan bahawa dirinya berkata sesuatu yang benar dan Allah itu wujud. 

Fatimah sendiri yang menyaksikan sendiri ayahnya dihina dengan cara yang melampaui batas. Sedang Rasulullah S.A.W bersujud di Ka’abah, tidak jauh dari situ ada seorang yang sedang mengawasi baginda. Orang tersebut adalah Uqbah bin Abi Mu’ith yang telah meletakkan kotoran binatang sembelihan dibahu baginda. Rasulullah S.A.W hanya diam tanpa mengangkat kepala baginda. Fatimah datang dan dengan keberanian yang ada beliau telah memaki Uqbah, dengan tangannya yang halus itu beliau telah membuang kotoran tersebut dari bahu ayahnya yang tercinta. 

Fatimah sememangnya anak kesayangan Rasulullah S.A.W sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith Sahih: 
“Fatimah adalah sepotong dariku. Aku merasakan apa yang dirasakannya dan aku juga membenci apa yang dibencinya.”

☆Ya Allah, sekiranya aku diberi kehidupan kedua, izinkan aku hidup bersama-sama mereka yang Engkau redhai dan cintai. 😢
Alhamdulillah, demikianlah sedikit perkongsian yang dapat ku coretkan untuk kita mengambil sedikit jadwa sebagai panduan dan pedoman. Semoga kita menjadi wanita hebat bidadari syurga.. 👑⭐Inshaallah..
Wallahualam.

*Tombol pintu bilik dipulas kemas. Sekian.

~Qatrunnada92

Wednesday, 1 March 2017

(RF:5) Permusafiran Wanita dan Klasifikasinya.

Permusafiran wanita merupakan satu isu yang amat menarik untuk dibincangkan dan diberi perhatian oleh semua pihak. Walaupun sebenarnya kini ia seolah-olah sudah tenggelam dalam kemelut kesibukan manusia yang lebih menjuruskan diri dalam era teknologi.
Rasulullah SAW pernah bersabda perihal tempat solat yang terbaik bagi seorang wanita.

Hadis dadi Ummu Salamah RA :
أن رسوا الله صلى الله عليه وسلم قال : خير مساجد النساء قعر بيوتهن
Maksudnya: Sebaik-baik masjid (tempat solat) bagi wanita adalah di pelosok rumah mereka.

Walaupun Rasullullah tidak melarang wanita untuk ke masjid tetapi baginda menegaskan bahawa solat di rumah lebih afdhal bagi wanita daripada solat di masjid. Taujihat nabawi ini menjadi dalil bahawa Islam amat menyukai wanita menetap di rumah. Sekiranya Islam menggalakkan wanita keluar dari rumah, nescaya  baginda mesti menggalakkan wanita berkunjung ke masjid kerana masjid merupakan tempat yang paling selamat dana man daripada fitnah bagi seorang wanita jika dibandingkan dengan tempat yang lain.

Sekiranya kita meneliti arus kemodenan dan ketamadunan dewasa ini memang kita dapati wanita keluar dari rumah dengan pelbagai sebab.

Antaranya untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bekerjaya, bepersatuan dan sebagainya. Mereka telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk menggilap bakat, kreativiti dan kemahiran dalam bidang yang mereka minati dan ceburi berlandaskan hudud-hudud Ilahi. Namun demikan Islam tidak sewenang-wenangnya membenarkan mereka bermusafir tanpa memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syara'.

Kita melihat dari sudut bidang kerjaya, seseorang wanita perlu mematuhi  segala ketetapan yang telah ditentukan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah serta MAqasid Syariah sebagaimana berikut :
• Hendaklah wanita tersebut mendapatkan keizinan daripada walinya atau suaminya untuk keluar bekerja.

• Pekerjaan yang hendak dilakukan itu adalah pekerjaan yang diharuskan syara'.

• Hendaklah melazimi adab-adab yang ditentukan oleh syara' sebagai seorang wanita muslimah yang meliputi pemakaian, gaya berjalan, percakapan, pandangan ( segala gerak-geri).

• Pekerjaan tersebut tidak menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tanggungjawab dan tugasan asasinya terhadap suami dan anak-anak serta pengurusan rumah tangga.

• Pekerjaan yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan fitrah mereka yang lembut seperti bekerja sebagai buruh binaan, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya yang biasa dilakukan oleh kamu lelaki.

• Tidak menyebabkan penguasaan wanita terhadap kaum lelaki.
Berusaha menjauhi kerja yang boleh berlaku khalwat dan ikhtilat.

Demikianlah beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama'. Ia mesti dijaga oleh wanita yang ingin bekerja diluar.

Klasifikasi permusafiran terbahagi kepada :

Permusafiran ketaatan : contoh haji dan jihad.

Permusafiran harus : contoh berniaga.
Permusafiran maksiat : contoh menyamun dan merompak.

Imam Ghazalli Rahimullah mengklasifikasikan permusafiran kepada beberapa kategori iaitu:

• Musafir dalam menuntut ilmu, iaitu sama ada wajib atau sunat bergantung kepada ilmu tersebut untuk dituntut.

• Musafir kerana tuntutan haji dan jihad iaitu musafir kerana untuk beribadah.

• Musafir kerana ingin lari daripada yang membawa keburukan kepada badan seperti penyebaran penyakit taun ataupun keburukan pada harta seperti harga tepung yang mahal atau apa sahaja yang seumpama dengannya.

Kemudian Imam Ghazalli Rahimullah mengatakan pula bahawa permusafiran terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Permusafiran yang dikeji.
Haram: contohnya hamba yang melarikan diri daripada tuannya dan lari kerana derhaka kepada kedua ibu dan bapa atau salah seorang daripadanya.

Permusafiran yang dipuji.
Wajib : contohnya menunaikan haji dan menuntut ilmu yang manaia adalah kefardhuan terhadap setiap muslim.
Sunat : contohnya menziarahi ulama' dan warisan ulama' Islam.

Permusafiran yang diharuskan.
Contohnya keluar bermusafir untuk memenuhi keperluan hidup seperti berniaga dan mengajar dan sebagainya.

Dalam kitab Mufassal Fii Ahkam al-Mar'ah menjelaskan bahawa permusafiran wanita kerana menuntut ilmu adalah diharuskan sama ada menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat. Walau bagaimanapun ia menjadi wajib sekiranya berkaitan dengan fardhu kifayah dalam keadaan tiada seorang pun mempelajarinya dalam sesebuah negara ataupun bandar.

Semoga beroleh manfaat dari coretan ini. Sirru ala barakatillah.

Oleh : tholibatulIlmi92