Barisan HEWI mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan.

Indahnya Berukhuwwah.

Salam Mujahadah.

Sunday, 21 February 2016

~Memori Dingin Eindhoven~ [RF.14]







    “Volgande halte: Van Logterenpad”, skrin monitor kecil bas nombor 2 berbunyi. Lalu aku, Mar dan N2 bersiap sedia, takut terlepas hentian, jauh nak patah balik. Jam menunjukkan sudah 9:30 malam, waktu yang agak lewat bagi orang Belanda. Pukul 6.00 sahaja langit sudah gelap, jalan sunyi seolah-olah tiada penghuni.

    Berjalannya kami dalam keadaan sejuk dan penat setelah 3 jam naik bas dari Brussels ke stesen Amsterdam Sloterdijk, kemudian naik tren pula 2 jam untuk sampai ke Eindhoven. Ah, penatnya memang kalau boleh tidur sambil berjalan dah lama buat. Setibanya di rumah tumpangan, badan pun terus direbahkan atas tilam. Nikmat dunia sungguh.

“Korang, tak rasa beruntung ke kita lahir dalam zon selesa?” kata Mar.

“Maksud kau?” hairan aku tiba-tiba.

“Ye la, kat paris nak solat kat tempat terbuka kena tangkap, kat Brussels nak solat tiba-tiba ada askar round. Untung kita lahir kat negara yang ramai muslim, surau masjid kat mana-mana, tak payah susah-susah solat kat tepi jalan, cari qiblat pakai kompas.” kata Mar lagi.

“Tapi orang sini untung gak wei, kuasa membeli tinggi wei, tak sampai 10 euro boleh beli barang rumah. Semua benda canggih je. Kerja habis pukul 6, boleh spend time dengan family.” N2 menyampuk. Dasar N square.

“Aku pun rasa untung gak. Aku tengok suasana ni aku terfikir, macam ni rasanya ada ustaziyatul alam? Pergi negara semuslim tak payah guna passport, mata wang pun guna yang sama, macam Belanda, Perancis dengan Belgium guna Euro. Negara kaya, semua terbela sampai susah sangat nak nampak orang gelandangan kat sini.” kata Mar.

“Haah la, Ustaz Junaidi pun pernah cerita masa khilafah masih ada dulu pun tak payah pakai passport, jalan je.” aku menambah.

“Sekarang semua tinggal sejarah je, dalam quran memang ada kata, Islam akan menang, persoalannya, adakah kita sudah cukup usaha? Kita tolong cepatkan ke lambatkan?” kata Mar.

“Dah la wei, mutabaah amal aku pun hancur. Imam Hasan al-Banna kata, kerja yang ada lagi banyak daripada waktu yang kita ada, tapi aku? Hmmm dah la, rasa nak bertukar jadi kucing je wei.” sentap pula aku.

“لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم derr, rilek, keep calm and infiru. Senjata kita sekarang ialah doa, yang penting jangan lupa doa, biar kaki kita tetap pada jalanNya, macam surah Muhammad ayat 7” kata Mar meyakinkan aku kembali.

“Insaf gak pergi jalan-jalan ni rupanya.” kata N2. Lalu aku luku bahunya. Apa kau ingat kita jalan buta-buta saja?

Setelah lena, bangkitnya kami untuk solat Subuh. Selepas rukuk pada rakaat kedua.

"اللهم نجعلك في نهور أعداءنا..."

Tamat.

Disclaimer: Nama dan perbualan semua fiksyen. Tempat ialah nama sebenar. Apapun, teruskan berdoa untuk saudara seagama kita. [glosari: volgande halte = hentian seterusnya]

Nukilan oleh: AN.


Monday, 15 February 2016

~Resepi Bahagia~ [RF.13]





Dalam kehidupan seharian kita tidak akan lari dengan perasaan suka, duka, gembira, sedih dan sebagainya. Manusia tidak akan bahagia bilamana manusia itu tidak mengerti apa itu bahagia. Di sini ingin saya kongsikan resepi bahagia kepada semua.


1) SENYUM

Selalu orang berkata bahawasanya senyum itu satu sedekah. Bilamana setiap hari kita mulakan hari kita dengan senyuman kehidupan kita akan rasa amat bahagia. Dipetik dari sebuah kata-kata yang berbunyi “Satu-satunya perkara yang akan membuatkan kita tetap senyum walaupun kita sedang bersedih adalah dengan mengetahui Allah sentiasa sayang kita.”


2) HUSNU DZON DENGAN ALLAH

Bilamana kita dalam kesedihan dan diuji dengan kesusahan, ramai orang yang akan berburuk sangka kepada Allah sedangkan Allah telah memberi segala nikmat yang tidak terhingga. Persoalannya bagaimanakah kita bersyukur dengan nikmat Allah itu?
Seharusnya kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah, boleh jadi apa yang diatur oleh Allah itu lebih baik dari apa yang kita inginkan, dan boleh jadi apa yang kita inginkan itu tidak diredhai oleh Allah sama sekali. Dipetik dari kalam Imam Syafie yang berbunyi:

“Aku mengadu kepada guruku Imam Waqi’ tentang kenapa sulit menghafal, lalu ia memintaku meninggalkan maksiat. Dia juga menegaskan kepadaku bahawa ilmu itu cahaya dari Allah S.W.T, maka cahaya itu tidak akan disinarkan kepada ahli maksiat”.


3) BERSYUKUR DAN REDHA

Bahagianya seseorang itu apabila dia bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah sama ada sikit ataupun banyak. Kerana dengan syukur kepada Allah hati akan menjadi tenang dan damai. Kenapa kita perlu redha dengan ketentuan Allah? Kenapa hati kita selalu memberontak tatkala apa yang dirancang tidak menjadi? Mengapa dan mengapa? Mengapa banyak yang kita tidak berpuas hati dengan takdir qada’ dan qadar Allah? Sebab hati kita sudah hitam dan tidak melakukan segala suruhan Allah dengan hati yang ikhlas.


Firman Allah S.W.T:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain (kerana) bagi orang-orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisa:32)


4) POSITIF

Mengapa kita perlu sentiasa berfikiran positif? Dan mengapa juga kita sentiasa berfikiran negatif pada seseorang? Banyak sebab mengapa kita perlu berfikiran positif dengan semua orang sekeliling kita kerana masyarakat di sekeliling kita tidak akan lari dengan kehidupan kita. Dipetik kata-kata Prof Dr Muhaya:

“Setiap kali kita mengkritik orang lain kita telah menjatuhkan martabat kita. Orang Berjaya hanya focus pada apa yang dia suka dan positif. Mereka ‘ignore’ manusia dan peristiwa negatif dan menggunakan tenaga kearah tujuan hidup mereka. Kita jangan mengharap pada orang lain untuk mengatasi masalah kita. Ambil tanggungjawab dan banyak berdoa. Hati manusia dalam genggaman Allah. Siapa yang Allah sayang manusia akan sayang. Kalau isteri atau suami tak sayang bererti kemungkinan Allah tak sayang. Ubah dunia dalaman untuk ubah dunia luaran kita. Hormati ‘privacy’ orang lain. Kalau kita tak suka diganggu, manusia lain juga tidak suka diganggu.”


5) SALING BANTU- MEMBANTU

Allah SWT telah memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman supaya saling menolong dan bekerjasama dengan syarat mestilah atas dasar kebenaran dan ketakwaan, dan melarang mereka untuk tolong-menolong dan bekerjasama dalam perkara yang haram dan pencabulan. Dalam skop kita yang kecil ini, dimana kita jauh dengan keluarga,maka marilah sama-sama kita saling membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

Ibnu Katsir berkata dalam menafsirkan ayat (bermaksud):

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa,dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran,” (Al-Maidah:2)