Barisan HEWI mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan.

Indahnya Berukhuwwah.

Salam Mujahadah.

Wednesday, 12 April 2017

(RF:11) Kekejaman Dalam Senyap

Pada 4 April baru-baru ni, kita dikejutkan dengan serangan kimia gas sarin yang menimpa saudara kita di Syria. Sudah hilang kemanusiaan dalam diri ekstrimis mengakibatkan ratusan nyawa rakyat Syria di Idlib terkorban.

Gas maut tersebut, setelah dikenalpasti, merupakan gas sarin yang dikategorikan sebagai racun syaraf atau nerve agent.

Senjata kimia sesungguhnya telah dilarang dan dimusnahkan oleh PBB sejak awal 1990. Namun meski 90 peratus dari senjata kimia dunia telah dihancurkan, masih ada 17 negara yang memiliki senjata tersebut dalam penyimpanan mereka.

Kemudian, kita digemparkan lagi, tanggal 9 April, kejadian bom menggegarkan gereja koptik di Mesir menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 60 cedera, memetik laporan Reuters.

Dengan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu dengan ia berlaku hanya seminggu sebelum Coptic Easter dan dalam bulan yang sama Pope Francis dijadual melawat Mesir.

Pengeboman di Tanta yang terletak kurang daripada 100 kilometer di luar Kaherah seakan-akan memperlihatkan peningkatan serangan ke atas Kristian.

Pada bulan Februari, keluarga dan pelajar Kristian melarikan diri dari wilayah utara Sinai Mesir secara beramai-ramai selepas militan Daesh memulakan beberapa siri pembunuhan.

Saksi dalam tragedi letupan menyifatkannya sebagai kejadian pembunuhan beramai-ramai.

Daesh yang mendakwa bahawa ia merupakan gerakan Islam merupakan salah satu fitnah besar dalam Islam . Diibaratkan seperti duri dalam daging yang merosakkan nama baik Islam , agama sekalian alam.

Apa yang harus dilakukan?

1.Doa senjata orang mukmin, kata-kata yang cukup masyhur untuk dijadikan pegangan. Jangan pernah lupa untuk selitkan doa buat saudara kita yang dicabul hak kemanusiaannya agar mereka mendapat nusrah Allah, yang dijanjikan buat orang yang tidak berputus asa menegakkan agama Islam dan mengharap padaNya.

2. Berilah bantuan sama ada dalam bentuk sumbangan wang ringgit, makanan atau pakaian. Cakna dengan kempen bantuan untuk saudara kita.

3.Patuh suruhan serta perintah Allah dan Rasulullah, moga kita tidak tergolong dalam golongan yang memberi fitnah dalam Islam.

Moga dengan usaha kecil kita ini, saudara kita tabah menghadapi dugaan di sana dan  ada jawapan yang boleh kita bentangkan di hadapan Allah S.W.T.  mengenai kekejaman yang dihadapi saudara kita.

Rujukan daripada ,
https://www.thevocket.com/7-fakta-tentang-senjata-kimia-sarin-yang-digunakan-untuk-membunuh-rakyat-syria/

http://m.malaysiakini.com/news/378555

Jemput baca untuk makluman lanjut.

9 April 2016 :)

Thursday, 30 March 2017

Cecair-cecair keluar dari Faraj Wanita dan hukum -hukumnya.

بسم الله الرحمن الرحيم

Wanita mempunyai martabat yang sangat mulia di sisi Islam. Hadirnya Islam membuatkan wanita lebih memahami keadaan dirinya sendiri dan kejadian-kejadian yang berlaku sekitar dirinya. Insha Allah, dikesempatan kali ini, saya akan cuba mengupas bab yang paling dekat dengan wanita iaitu bab cecair-cecair yang keluar dari faraj wanita dan hukum-hukumnya.

Jenis- jenis Cairan Yang Terdapat Pada Wanita

Air wadiIa merupakan sejenis cecair putih kental yang keluar selepas membuang air kecil (kencing). Memandangkan ia keluar selepas kencing, maka hukumnya seperti air kencing, yakni ia membatalkan wuduk dan boleh dibersihkan dengan air.

Air maziIa adalah sejenis cecair yang nipis, jernih (‘clear’) dan licin seperti pelincir. Ia keluar apabila timbulnya syahwat, seperti apabila suami-isteri memulakan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau berangan-angan sesuatu yang memberahikan.Air mazi membatalkan wuduk dan hendaklah dibersihkan dengan cara membasuh vagina dengan air.

[Shahih al-Bukhari, no: 261] 

Jika air mazi terkena pakaian, memadai dengan merenjis atau memercik dengan air.
Rasulullah member tunjuk ajar: Cukuplah kamu mengambil air sepenuh telapak tanganmu, lalu percikkan pada bahagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 210].Memandangkan air mazi adalah jernih, agak sukar untuk mengetahui di bahagian mana ia mengenai pakaian. Maka memadailah memercikkan air pada bahagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi tanpa perlu membasuh keseluruhan pakaian.

Air maniIa merupakan cecair berbau yang keluar tatkala berlakunya kemuncak syahwat (klimaks).Bagi lelaki ia agak pekat sementara bagi wanita ia agak cair.

Air mani keluar apabila suami isteri melakukan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau bermimpi, lazim disebut sebagai mimpi basah.Berkenaan air mani, sebahagian orang berpendapat wanita tidak mengeluarkan air mani. Pendapat ini dijawab bahawa wanita juga mengeluarkan air mani, hanya air mani wanita tidak mengandungi sperma sebagaimana air mani lelaki. Dalilnya ialah hadis berikut, di mana Umm Sulaim telah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang hak. Apakah bagi wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Rasulullah wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air mani.” Umm Salamah (isteri Rasulullah yang turut hadir) menutupi wajahnya (kerana malu) seraya bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita itu bermimpi (basah)?” Baginda menjawab: “Ya.” [Sebahagian daripada hadis Shahih al-Bukhari, no: 127].

Apabila seorang wanita mengeluarkan air mani, dia berada di dalam keadaan junub dan hendaklah membersihkan dirinya dengan Mandi Wajib.

Jika Air Mani terkena pakaian, maka ia dibasuh dengan air jika masih basah [Shahih Muslim, no:436] atau dikerit (kikis dengan kuku) jika sudah kering [Shahih Muslim, no: 435]. Di antara tiga jenis cecair yang keluar ini, hendaklah dibezakan bahawa untuk air wadi dan air mazi, memadai membasuh dengan air, lalu berwuduk, sementara untuk air mani hendaklah melalui Mandi Wajib. Seperkara lain, apabila disebut onani (‘masturbate’), ia hanyalah untuk pengetahuan umum. Ia tidak bererti, Islam mahu pun penulis menganjurkan perbuatan tersebut.

Cairan lain daripada diri sendiri.
Kadangkala ada cairan yang keluar namun sudah dikenal pasti ia bukan darah haid, bukan cairan kuning, putih, coklat yang berkaitan dengan haid, bukan darah nifas, bukan darah istihadhah dan bukanjuga air kencing, air wadi, air mazi mahu pun air mani. Lalu apakah hukum cairan ini? Di antara ilmuwan Islam, ada yang berpendapat cairan tersebut adalah najis. Ia membatalkan wuduk dan hendaklah vagina serta pakaian yang mengenainya dibasuh dengan air. Mereka berhujah bahawa semua yang keluar melalui qubul dan dubur adalah najis. Walau bagaimanapun ada juga yang berpendapat, cairan tersebut bukan najis dan tidak membatalkan wuduk. Ini kerana manusia pada asalnya adalah suci dan apa yang dianggap sebagai najis dan/atau membatalkan wuduk hendaklah berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Memandangkan dalam hal ini tiada dalil, maka ia bukan najis dan tidak membatalkan wuduk. Namun boleh saja bagi seseorang itu membersihkan vaginanya dan mengambil wuduk apabila hendak solat, sebagai langkah kebersihan tambahan. 

Cairan dari sumber lain.
Ada kalanya keluar cairan vagina dari sumber yang lain. Misalnya, air mani suami yang mengalir keluar dari vagina isterinya setelah mereka melakukan hubungan seks. Contoh lain, setelah membasuh vagina daripada air mazi, darah haid atau lain-lain, ada air basuhan yang mengalir keluar. Dalam kes ini, memadai bagi wanita tersebut mengelap kering cairan tersebut tanpa perlu mengambil wuduk, mengulangi wuduk atau Mandi Wajib.

Cairan kerana penyakit Dalam kes terpencil, ada wanita yang vaginanya sentiasa lembap dengan cairan, umpama air mazi. Sudah dipastikan oleh para doktor bahawa ia adalah sejenis penyakit dan bukan disengajakan oleh wanita tersebut. Dalam kes ini, ia diqiyaskan kepada darah istihadhah di mana cairan tersebut tidak membatalkan wuduk kerana ia adalah penyakit yang dimaafkan.

Wallahua’lam.

Sumber sekunder : Karangkraf

Amirah

Wednesday, 22 March 2017

(RF:8) Musim Panas Bukan Penghalang...


خلق السموات والأرض بالحق يكور اليل على النهار و يكور النهار على اليل و سخر الشمس والقمر كل يجري لأجل مسمى ألا هو العزيز الغفر
Mafhumnya : Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar.Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan,masing-masing berjalan menurut waktu yang ditetapkan.Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Merujuk pada ayat diatas,dapatlah kita fahami bahawasanya Allah Subhanahu Wataala telah menciptakan langit dan bumi ada tujuannya yang tersendiri.Dimana saranan yang menunjukkan waktu siang adalah waktu kita mencari nafkah dan berkerja dan malam adalah waktu kita banyakkan beribadat kepada Allah.

Oleh yang demikian,memandangkan musim panas bakal menjelma,adakah kita sudah bersedia menghadapinya?! Adakah kita akan memberi alasan cuaca panas untuk tidak hadir ke kuliah?! Atau adakah cuaca panas juga alasan untuk tidak berpuasa sunat?!

Baiklah disini saya akan kongsikan tip-tip persediaan bagi menghadapi musim panas dan serta merta menolak semua alasan yang bakal kita cipta.Antaranya ialah :

• Minum air masak / mineral sekurang-kurangnya 2 liter sehari bagi menggantikan air yang telah dinyahkan dari badan.

• Gunakan krim pelindung matahari dan losyen yang bersesuaian dengan kulit anda bagi mengekalkan kelembapan kulit.

• Kurangkan aktiviti luar jika suhu terlalu panas mengikut ramalan kaji cuaca.

• Memakai pakaian yang berunsurkan kapas supaya peluh diserap dengan baik/tukar baju dengan kerap/elakkan dari memakai pakaian yang berwarna gelap.

• Sejukkan badan terlebih dahulu sebelum mandi dan elakkan membasuh muka dalam keadaan berpeluh atau panas terutamanya selepas melakukan aktiviti luar.

• Elakkan berada di kawasan yang sesak bagi mengelak dari terkena jangkitan.

• Menggunakan kaca mata hitam dan penutup kepala untuk mengelakkan diri terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga kesihatan diri serta memberikan semangat dalam diri kita dalam menghadapi musim panas ini dengan tenang dan sabar. Insha Allah...Semoga bermanfaat (

Thursday, 16 March 2017

(RF:7) BAITUL MAQDIS HARI INI


BAITULMAQDIS 12 Mac – Beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan bantahan selepas Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid.

Penunjuk perasaan berarak di sepanjang Bandar Kabul, utara Israel sambil memegang bendera Palestin dan sepanduk yang tertulis: ‘Jangan menutup mulut muazin’ serta ‘Undang-undang terhadap muazin tidak akan berjaya’.

Rabu lalu, Parlimen Israel memberi kelulusan awal kepada dua rang undang-undang baharu yang mengehadkan laungan azan di masjid-masjid sekitar Israel serta timur Baitulmaqdis. Salah satu daripada rang undang-undang berkenaan juga menghalang penggunaan pembesar suara masjid sepanjang masa.

Undang-undang itu diluluskan selepas satu perbincangan hangat yang bertukar menjadi perbalahan antara anggota gabungan pemerintah serta ahli Parlimen berketurunan Arab. Ada antaranya yang me­ngam­bil tindakan mengoyakkan draf undang-undang tersebut dan ter­paksa diarahkan keluar dewan ekoran perbalahan itu.

Walaupun rang undang-undang tersebut secara teorinya dikuatkuasakan kepada tempat beribadat bagi semua agama, namun penduduk Islam menegaskan tindakan itu adalah jelas bagi menyekat laungan azan. Kumpulan penyokong Israel menegaskan undang-undang itu adalah wajar bagi mengelakkan sebarang gangguan.

Jadi, sama-samalah kita berdoa agar hak umat Islam kita sentiasa dibela dan yakin janji Allah itu pasti.

Wednesday, 8 March 2017

PENGUKIR SEJARAH- 4 WANITA UNGGUL


    ☀Mentari memanah kota Cairo dan kadangkala hembusan pawana berpuput dingin. Mungkin sedang menghembuskan hembusan musim sejuk terakhir untuk kesekian kalinya, mengalukan kedatangan musim panas yang sudah lama berhibernasi. Meraup wajah.

    Berdiri di tengah debuan dengan kenderaan yang sesak, jammed dan zahmah. Ya, kesesakan dan Mesir itu berpisah tiada. Pengalaman bermukim di bumi ini telah membuka persediaan demi persediaan untuk menghadapi segalanya. Biiznillah. Sekilas, perhatian dicuri oleh beberapa orang mahasiswi Arab dengan pelbagai ajnas dan ekspresi wajah. Melihatkan wanita-wanita Arab ini, terteleport seketika fikiran mengenai wanita terunggul ke dimensi berjuta abad lamanya, zaman mereka para Rasul...
.
.
.
✨Sabda Rasulullah S.A.W: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita. Mereka itu adalah Asiah Binti Muzahim, Maryam Binti Imran, Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad."

     Wanita-wanita unggul itu, dijanjikan syurga buat mereka malah disabdakan oleh Rasul dalam titahnya, mereka adalah penghulu segala wanita. Pesona..
.
.
Siapakah mereka dan mengapakah mereka merupakan wanita paling hebat? Sempena Hari Wanita Sedunia yang bakal menjelang 8 Mac ini. Mari kita jejak kembali riwayat hidup wanita-wanita ini.

1. Asiah Binti Muzahim - Isteri Fir'aun
.
.
Asiah adalah simbol kekuatan bagi kaum wanita yang beriman kerana dia sanggup mempertahankan keimanannya kepada Allah walaupun dia perlu mengharungi kehidupan dengan suaminya, Fir’aun yang tidak beriman kepada Allah.

Asiah pernah berkata:
“Wahai Fir’aun, kau boleh seksa zahir aku, sedangkan batin aku tidak engkau boleh potong badan aku, iman aku tidak."

Ucapan itu dikatakan oleh Asiah tatkala menerima seksaan dari Fir’aun. Ketabahan Asiah memelihara syahadah Allah S.W.T telah diabadikan di dalam Al-Quran, menerusi surah At-Tahrim ayat 11 yang bermaksud.

"Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam Syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim"

Dialah wanita paling bijaksana dan berpandangan jauh. Dia tidak membuat keputusan untuk melarikan diri daripada suaminya walaupun suaminya seorang yang kejam. Malahan, dia memilih untuk bersabar.

Dia menunggu ganjaran Allah dan langsung tidak kisah dengan apa yang menimpa dirinya kerana keyakinannya yang begitu tinggi bahawa tiada sia-sia setiap ketetapan Allah itu walaupun derita yang diperolehnya setiap saat. Ganjaran dan tujuan hidupnya sangat jelas iaitu hidup dan mati kerana Allah. Subhanallah, mampukan aku menjadi sehebat Asiah?

2. Maryam Binti Imran - Ibu Nabi Isa AS
.
.
Maryam binti Imran adalah ibu kepada Nabi Isa A.S.

Apabila Maryam dewasa, dia pulang ke kampungnya di Nasharat. Di sinilah dia mendapat amanat agung bahawa dia akan mengandung seorang anak lelaki.

Sebagaimana Allah abadikan kisah ini di dalam Al-Qur’an surah Maryam ayat ke 42 & 45 yang bermaksud: 

"Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: 'Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (di masanya)'”. (Maryam: 42). 

“(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al-Masih ‘Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah).” (Maryam: 45)

Maka Allah S.W.T menunjukkan kebesaranNya dengan meniupkan roh melalui Malaikat Jibril ke dalam rahim Maryam. Apabila Maryam pulang ke Jerusalem, dia dalam keadaan mengandung.

Disinilah bermula keimanan dan ketaqwaan Maryam apabila dia diuji dengan pelbagai fitnah yang menghujani dirinya. Masyarakat memandangnya dengan buruk dan menuduh dia sebagai seorang penzina. Masyaallah, serasa berat ujian terhadap diri kerdil ini, berat lagi ujian yang Kau timpakan pada mereka. Sungguh, ketabahanmu, kekagumanku.

3. Siti Khadijah Binti Khuwailid - Isteri Rasulullah S.A.W
.
.
Siti Khadijah binti Khuwailid adalah wanita pertama yang memeluk Islam dan juga isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dia dikenali sebagai ‘Ummul Mukminin’ iaitu ibu orang mukmin.

Khadijah adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka menolong orang yang lemah dan yang memerlukan.

Isteri Rasulullah ini adalah wanita muslim yang patut dicontohi oleh umat Islam. Dia telah melakukan tugas yang hebat sebagai pendamping dan isteri Rasullah S.A.W. Dia telah memberikan dorongan dan semangat kepada Rasulullah S.A.W. Meskipun tanggungjawabnya sebagai pengurus rumah tangga amat besar, namun dia berjaya membantu ekonomi keluarga dan juga masyarakat sekitarnya.

Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Ketika aku miskin, Khadijah memberiku kekayaan. Ketika orang menganggapku gila, ia tetap percaya kepadaku.”

Siti Khadijah memiliki pemikiran tentang keIslaman yang cukup penting. Beliau sering berkata bahawa manusia adalah makhluk yang merupakan sumber penjelmaan daripada kebesaran Allah S.W.T. Allah memerhatikan kelakuan manusia dan memberikan ganjaran. Ya Robb, alangkah indahnya jika aku dapat bersama mereka dalam memperjuangkan agamaMu. 😭

4. Fatimah Binti Muhammad - Puteri Rasulullah S.A.W
.
.
Fatimah Binti Muhammad adalah puteri kepada Rasullah S.A.W.

Situasi yang dihadapi keluarganya, membuatkan Fatimah kehilangan keseronokan semasa kecilnya. Tetapi Fatimah tidak pernah menyesal, dia rela meninggalkan masa kanak-kanaknya untuk menghadapi derita bersama keluarganya. Semenjak Muhammad s.a.w menyampaikan ajaran Islam, kaum Quraisy menjadi kejam terhadap keluarga mereka.

Fatimah menghadapi berbagai tindakan kekerasan dari mereka yang tidak mahu menerima ajaran Islam. Walaubagaimanapun, Fatimah gembira kerana keadaan ini membuatkan hubungan keluarga mereka kembali erat.

Sejak kecil, Fatimah telah mengalami derita penganiayaan bersama ayahnya. Pada satu ketika, Fatimah berjalan di samping ayahnya menuju Ka’abah dan dilihat oleh kaum Musyrikin dan serentak dengan itu mereka berteriak manyatakan Muhammad adalah orang yang bodoh yang menyatakan kebesaran Tuhannya. Dengan penuh kelembutan dan kesabaran Muhammad menyatakan bahawa dirinya berkata sesuatu yang benar dan Allah itu wujud. 

Fatimah sendiri yang menyaksikan sendiri ayahnya dihina dengan cara yang melampaui batas. Sedang Rasulullah S.A.W bersujud di Ka’abah, tidak jauh dari situ ada seorang yang sedang mengawasi baginda. Orang tersebut adalah Uqbah bin Abi Mu’ith yang telah meletakkan kotoran binatang sembelihan dibahu baginda. Rasulullah S.A.W hanya diam tanpa mengangkat kepala baginda. Fatimah datang dan dengan keberanian yang ada beliau telah memaki Uqbah, dengan tangannya yang halus itu beliau telah membuang kotoran tersebut dari bahu ayahnya yang tercinta. 

Fatimah sememangnya anak kesayangan Rasulullah S.A.W sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith Sahih: 
“Fatimah adalah sepotong dariku. Aku merasakan apa yang dirasakannya dan aku juga membenci apa yang dibencinya.”

☆Ya Allah, sekiranya aku diberi kehidupan kedua, izinkan aku hidup bersama-sama mereka yang Engkau redhai dan cintai. 😢
Alhamdulillah, demikianlah sedikit perkongsian yang dapat ku coretkan untuk kita mengambil sedikit jadwa sebagai panduan dan pedoman. Semoga kita menjadi wanita hebat bidadari syurga.. 👑⭐Inshaallah..
Wallahualam.

*Tombol pintu bilik dipulas kemas. Sekian.

~Qatrunnada92

Wednesday, 1 March 2017

(RF:5) Permusafiran Wanita dan Klasifikasinya.

Permusafiran wanita merupakan satu isu yang amat menarik untuk dibincangkan dan diberi perhatian oleh semua pihak. Walaupun sebenarnya kini ia seolah-olah sudah tenggelam dalam kemelut kesibukan manusia yang lebih menjuruskan diri dalam era teknologi.
Rasulullah SAW pernah bersabda perihal tempat solat yang terbaik bagi seorang wanita.

Hadis dadi Ummu Salamah RA :
أن رسوا الله صلى الله عليه وسلم قال : خير مساجد النساء قعر بيوتهن
Maksudnya: Sebaik-baik masjid (tempat solat) bagi wanita adalah di pelosok rumah mereka.

Walaupun Rasullullah tidak melarang wanita untuk ke masjid tetapi baginda menegaskan bahawa solat di rumah lebih afdhal bagi wanita daripada solat di masjid. Taujihat nabawi ini menjadi dalil bahawa Islam amat menyukai wanita menetap di rumah. Sekiranya Islam menggalakkan wanita keluar dari rumah, nescaya  baginda mesti menggalakkan wanita berkunjung ke masjid kerana masjid merupakan tempat yang paling selamat dana man daripada fitnah bagi seorang wanita jika dibandingkan dengan tempat yang lain.

Sekiranya kita meneliti arus kemodenan dan ketamadunan dewasa ini memang kita dapati wanita keluar dari rumah dengan pelbagai sebab.

Antaranya untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bekerjaya, bepersatuan dan sebagainya. Mereka telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk menggilap bakat, kreativiti dan kemahiran dalam bidang yang mereka minati dan ceburi berlandaskan hudud-hudud Ilahi. Namun demikan Islam tidak sewenang-wenangnya membenarkan mereka bermusafir tanpa memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syara'.

Kita melihat dari sudut bidang kerjaya, seseorang wanita perlu mematuhi  segala ketetapan yang telah ditentukan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah serta MAqasid Syariah sebagaimana berikut :
• Hendaklah wanita tersebut mendapatkan keizinan daripada walinya atau suaminya untuk keluar bekerja.

• Pekerjaan yang hendak dilakukan itu adalah pekerjaan yang diharuskan syara'.

• Hendaklah melazimi adab-adab yang ditentukan oleh syara' sebagai seorang wanita muslimah yang meliputi pemakaian, gaya berjalan, percakapan, pandangan ( segala gerak-geri).

• Pekerjaan tersebut tidak menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tanggungjawab dan tugasan asasinya terhadap suami dan anak-anak serta pengurusan rumah tangga.

• Pekerjaan yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan fitrah mereka yang lembut seperti bekerja sebagai buruh binaan, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya yang biasa dilakukan oleh kamu lelaki.

• Tidak menyebabkan penguasaan wanita terhadap kaum lelaki.
Berusaha menjauhi kerja yang boleh berlaku khalwat dan ikhtilat.

Demikianlah beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama'. Ia mesti dijaga oleh wanita yang ingin bekerja diluar.

Klasifikasi permusafiran terbahagi kepada :

Permusafiran ketaatan : contoh haji dan jihad.

Permusafiran harus : contoh berniaga.
Permusafiran maksiat : contoh menyamun dan merompak.

Imam Ghazalli Rahimullah mengklasifikasikan permusafiran kepada beberapa kategori iaitu:

• Musafir dalam menuntut ilmu, iaitu sama ada wajib atau sunat bergantung kepada ilmu tersebut untuk dituntut.

• Musafir kerana tuntutan haji dan jihad iaitu musafir kerana untuk beribadah.

• Musafir kerana ingin lari daripada yang membawa keburukan kepada badan seperti penyebaran penyakit taun ataupun keburukan pada harta seperti harga tepung yang mahal atau apa sahaja yang seumpama dengannya.

Kemudian Imam Ghazalli Rahimullah mengatakan pula bahawa permusafiran terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Permusafiran yang dikeji.
Haram: contohnya hamba yang melarikan diri daripada tuannya dan lari kerana derhaka kepada kedua ibu dan bapa atau salah seorang daripadanya.

Permusafiran yang dipuji.
Wajib : contohnya menunaikan haji dan menuntut ilmu yang manaia adalah kefardhuan terhadap setiap muslim.
Sunat : contohnya menziarahi ulama' dan warisan ulama' Islam.

Permusafiran yang diharuskan.
Contohnya keluar bermusafir untuk memenuhi keperluan hidup seperti berniaga dan mengajar dan sebagainya.

Dalam kitab Mufassal Fii Ahkam al-Mar'ah menjelaskan bahawa permusafiran wanita kerana menuntut ilmu adalah diharuskan sama ada menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat. Walau bagaimanapun ia menjadi wajib sekiranya berkaitan dengan fardhu kifayah dalam keadaan tiada seorang pun mempelajarinya dalam sesebuah negara ataupun bandar.

Semoga beroleh manfaat dari coretan ini. Sirru ala barakatillah.

Oleh : tholibatulIlmi92

Wednesday, 22 February 2017

(RF:4) TIPS PENJAGAAN KULIT MUSIM SEJUK

Bulan-bulan bercuaca sejuk ini membawa perubahan kepada kulit kita. Ramai daripada kita yang mula nampak perubahan pada kulit. Semasa musim sejuk, kandungan kelembapan dalam udara menjadi rendah dan sistem pemanasan di dalam bangunan menyebabkan kulit semakin kering. Namun,  berita baiknya ialah anda sebenarnya boleh kelihatan dan berasa sempurna tidak kira apa cuaca di luar sana kerana ada banyak tips penjagaan kulit semasa musim sejuk ini yang akan mengekalkan seri kulit anda.

1. Kekal terhidrat

Dengan suhu yang rendah semasa musim sejuk, anda mungkin kurang berasa haus. Namun, tetap cuba untuk minum air suam secukupnya untuk memastikan anda kekal terhidrat.

2. Menjaga bibir anda

Bibir yang mengelupas semasa musim sejuk memang tidak asing lagi. Bahkan ia terasa menyakitkan apabila terdedah kepada suhu sejuk yang melampau. Pastikan anda melindungi bibir anda dengan pelembap bibir yang mempunyai SPF. 

3. Memakai pelindung sinaran matahari @ sun block

Hanya kerana keadaan sejuk di luar dan anda tidak merasa kehangatan sinar matahari, tidak bermakna tiada sinaran UV di udara. Carilah _sun block_ yang melembapkan atau memakai _sun block_ di atas pelembap sedia ada anda. Pastikan ia dipakai 30 minit sebelum melakukan sebarang aktiviti di luar untuk kesan yang lebih baik.

4. Tidak melupakan tangan anda

Sebagaimana bibir, kulit tangan anda juga nipis dan sensitif dan boleh mengelupas semasa musim sejuk. Lembapkan tangan anda dengan krim tangan agar kekal lembap. Bawa sebotol kecil ke mana saja anda pergi. Gunakan juga sarung tangan untuk memastikan kekal lembap dan tidak mudah berasa gatal kerana kulit yang kering.

5. Memilih bahan kosmetik dengan bijak

Pernahkah anda perasan bahawa bedak asas @ foundationsukar disapu pada wajah semasa musim sejuk?  Ini kerana kulit kering pada musim sejuk menyebabkan kemunculan tompok-tompok kering dan bersisik. Pada waktu begini,  menggunakan serum yang melembapkan akan membolehkan kulit anda kelihatan lebih sihat dan bermaya. Oleh itu, jangan lupa untuk oleskan pelembap dan serum pada kulit anda setiap hari!

Sumber :
1. _m.utusan.com.my_
2. _www.herbalifeskin.com.my_

Penulis : NFN

Thursday, 16 February 2017

RUU 355 (RF:3)

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

~surah al ahzab ayat 36~

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 adalah suatu Akta untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum Syarak. Akta ini bertujuan untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa berkaitan hukuman kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa dan memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-Mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya berbanding dengan kuasa yang diluluskan pada tahun 1965 yang menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda RM 1,000 atau kedua-duanya sekali. Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

Orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Agama islam merupakan agama rasmi Malaysia.Oleh yang demikian,kita perlu menyokong Akta 355 demi menaikan dan mempertingkatkan kedudukan mahkamah syariah di malaysia.

-wallahhualam-

                                                                             ~srr~

Tuesday, 7 February 2017

(RF:2)[ DR JEMILAH MAHMOOD : Nyawa Hampir Melayang Namun Semangat Tidak Terlayang ]

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Masih terngiang-ngiang jawapan doktor Mohd Mazri Yahya, Pakar Pembedahan Vaskular yang telah menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan Aleppo kepada soalan peserta seminar REVIVE 2017 tentang siapakah tokoh muslim yang boleh diangkat sebagai contoh dalam
bidang sukarelawan dewasakini, beliau yang disebut ialah Doktor Jemilah Mahmood.

Sepanjang saya berada di alam sekolah perubatan, acapkali saya disogokkan dengan cerita bebanan tugas pakar sakit puan. Bagaimanakah seorang wanita berkerjaya yang menuntut kerahan masa dan tenaga, ingin membahagikan tanggungjawab kepada keluarga tersayang  dan komuniti di hospital?  Disamping itu, cinta dan cita-cita yang tidak berbelah bahagi untuk mencurahkan bakti kepada insan yang memerlukan di saat musibah melanda, yang telah diasuh dan disemai oleh ibu bapa sejak kecil, untuk mencapai dan merealisasikan impian yang mekar di hati?

Latar Belakang

Dr. Jemilah Mahmood menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Assunta dan Sekolah Menengah Assunta di Petaling Jaya sebelum berpindah ke London untuk melanjutkan pelajaran. Beliau memulakan langkah sebagai doktor perubatan di Hospital Kuala Lumpur seterusnya mendapat ijazah sarjana dalam Obstetrics & Gynaecologist di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan dan fellow penyelidikan di Universiti Tokyo kemudian menjadi Consultant di hospital swasta. Disamping itu, beliau telah menyandang jawatan bendahari kehormat di Malaysian Obstetrical & Gynaecological Organization.

13 May 1965, peristiwa hitam yang melanda negara kita telah meninggalkan sebuah pengalaman berharga buat beliau. Ketika itu musim hujan monsoon melanda, jalan-jalan menjadi lengang, bapa beliau menyediakan sendiri makanan untuk diedarkan. Dr Jemilah turut serta membahagikan makanan dan menziarahi warga setempat yang terjejas.

Kisah Ini adalah antara pengalaman yang telah dilalui oleh beliau ketika kanak dan menyuburkan lagi sifat kemanusian dan prihatin sesama insan.

Langkah Pertama

Pada tahun 1999, di tengah kemelut peperangan di Kosova yang mengorbankan beribu nyawa dan mangsa perang yang terjejas terutamanya wanita dan kanak-kanak tidak berdosa telah menggerakkan Dr Jemilah untuk memberikan bantuan kepada mereka.
Melihat kepada ketiadaan sebarang organisasi di peringkat nasional untuk memberikan bantuan kepada krisis antarbangsa, beliau telahmengorak langkah mengasaskan Malaysian Medical Relief Society yang kini lebih dikenali sebagai MERCY Malaysia. Menurut Dr Jemilah dalam rancangan The Leaderonomics, penubuhan NGO tersebut pada mulanya disangka mudah tetapi tidak mustahil kerana sikapnya yang sedia untuk meminta bantuan dan buah fikiran mengenai pengurusan organisasi dan kewangan kini telah membuahkan hasil.

Misi Kemanusiaan

Apabila bencana tsunami 2004 berlaku di Aceh, MERCY merupakan pasukan pertama tiba di sana. MERCY berjaya menyiapkan 16 projek pembangunan bernilai RM18.5 juta.

Antaranya termasuklah bangunan Program Akademi Jururawat, Fakulti Kedoktoran Universiti Syiah Kuala (Unisyiah) yang ditaja sepenuhnya oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan rumah anak yatim Kayee Kunyit di Aceh Besar yang ditaja oleh Yayasan Shamsuddin Abdul Kadir di bawah Kumpulan Sapura.

MERCY menghantar lapan misi ke Iran pada 26 Disember 2003 apabila gempa bumi di Bam, provinsi Kerman memusnahkan bandar purba tanah liat berusia 2,500 tahun.

MERCY Malaysia telah bertugas di Hospital Medan bersama pasukan Itali di Baravat, 13 kilometer (km) dari bandar Bam. Pasukan MERCY beroperasi di sana hingga April 2004, merawat 175 pesakit setiap hari dan membantu 18,000 mangsa.

MERCY juga terlibat dalam misi kemanusian di Iraq, Darfur, Palestin, Afghanistan, Pakistan, Kemboja dan juga wilayah-wilayah lain.

“Wake Up Call”
Semasa Dr Jemilah berada di Baghdad pada tahun 2003, ketika keluar untuk mendapatkan bantuan keperluan hospital, mereka telah dikepung oleh sekumpulan orang Iraq yang menyangka kumpulannya adalah militan untuk menyerang perkampungan mereka.

Segalanya bertukar menjadi tragedi ngeri apabila Dr Jemilah dan seorang lagi rakannya Dr Baba ditembak di bahagian pinggang, dan seorang pemandu dari Syria serta pegawai dari hospital meninggal dunia ditempat kejadian.
Walaupun Dr Jemilah dan pasukannya tahu bahawa keadaan di Baghdad tidak 100 peratus selamat ketika itu tetapi mereka telah mengabaikan risiko yang terpaksa dihadapi demi untuk merawat ramai pesakit yang menderita pada masa
itu.

Pulang daripada Iraq, Dr Jemilah memanggil seluruh warga kerja MERCY untuk bermesyuarat tentang halatuju dan siapakah yang akan terus menggalas kelangsungan organisasi jika beliau meninggal dunia akibat tragedi tersebut. Adakah organisasi yang ditubuhkan akan terus terbang gagah atau patah sayapnya?
Dari tahun 2009 hingga 2011, Dr Jemilah mengetuai cawangan kemanusiaan di Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di New York, bertumpukan kesihatan reproduktif, keganasan berasaskan jantina dan data populasi dalam keadaan kecemasan.

Anugerah Yang Diterima

Di atas jasanya terhadap masyarakat, beliau dianugerahkan Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Yang Teramat Mulia Sultan Azlan Shah pada tahun 2002 dan Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003.
Pada 6 Jun 2009, beliau dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Tan Sri.
Beliau juga telah menerima Anugerah Keamanan Wanita yang Pertama di Asia Timur (Kategori Perkhidmatan Kemanusiaan) di Manila. Anugerah yang berprestij itu juga pernah dianugerahkan kepada Presiden Filipina Corazon Aquino dan Aung San Suu Kyi dari Manila.

Konklusi

Semangat yang tidak luntur, sumbangan yang terus mengalir  dan kejayaan yang ditempa Dr Jemilah seharusnya membibitkan rasa cemburu di hati kita untuk menyumbangh bakti dan memberi manfaat kepada insan lain tanpa mengira batas warna, perkauman, negara dan agama.

Allah SWT berfirman:
“Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri”
(QS. Al-Isra:7)

disediakan oleh

NURUL SYUHADA BINTI ANUAR

Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Rujukan :
http://www.mstar.com.my/artikel/?file=/2009/9/13/mstar_manusia_peristiwa/20090913084532
https://doctorsoftheworld.org/our-team/dr-jemilah-mahmood/https://doctorsoftheworld.org/our-team/dr-jemilah-mahmood/
https://www.youtube.com/watch?v=X3rOHPfWGnA
http://www.ifrc.org/en/who-we-are/governance/global-senior-management-team_old/dr-jemilah-mahmood/
http://mercy.org.my/about-us/our-history/

Wednesday, 1 February 2017

(RF:1) Jom Kenal Fiqh Sat..

Sebelum kita merungkai satu persatu permasalahan Fiqh yang sedang rancak dibicarakan dalam media massa mahupun buah mulut masyarakat, izinkan saya menerangkan atau mengingatkan kembali serba sedikit tentang Ilmu Fiqh yang saya kira kita semua telah pelajarinya pada zaman sekolah.Bak kata orang kalau tak kenal maka tak cinta.Oleh itu menjadi kewajipan kita semua untuk mengetahui apa itu Ilmu Fiqh.

PENGENALAN ILMU FIQH

Dari segi bahasa kalimah Fiqh bermaksud memahami.Pada asalnya, ia bermaksud memehamai agama secara syumul (keseluruhannya). Namun kemudiannya dikhususkan ulamak kepada memahami ajaran Islam yang berkaitan dengam hukum hakam amali sahja iaitu percakapan, perbuatan, dan hal ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah dan akhlak.

Secara lebih jelas , ilmu Fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai ; ilmu berkenaan hukum hakam Syarak yang bersifat amali yang diperolehi dari dalil- dalilnya secara terperinci

Huraian;

1.Para ulama; membahagikan hukum hakam Syarak kepada tiga iaitu :

a)hukum hakam I’tiqad.
b)Hukum hakam Amali
c)Hukum hakam Akhlak.

Medan pengajian ilmu Fiqh ialah yang kedua di atas iaitu meramgkumi hukum hakam amali .
Fiqh tidak menyentuh tentang hukum hakam I’tiqad, begitu juga tidak meneyentuh tentang akhlak.

2.Perkara Syarak bermaksud Allah dan Rasul .Dalili-dalil Syarak pada dasranya ialah Kitab Allah (yakni Al Quran )dan Sunnah Rasulullah S.A.W.Namun secara terperinci ia merangkumi juga ijmak, Qiyas, dan sebagainya.

Apakah tujuan mempelajari ilmu Fiqh:

1)Untuk mencari kebiasaan kefahaman dan pengertian dari agama Islam (berpandukan Al Quran dan As Sunnah).
2)Untuk mempelajari hukum hakam Islam yang berhubung dengan kehidupan manusia.
3)Untuk memeperdalam pengetahuan dalam hukum hukum agama baik dalam bidang aqidah, akhlak mahupun dalam bidang ibadah dan muamalah.

4)ilmu Fikh mengatur dua hubungan utama manusia iaitu bersama Sang Pencipta dan juga bersama masyarakat sekeliling.
Secara ringkasnya, mempelajari ilmu Fiqh bererti mempelajari dan juga meningkatkan kualiti  dimensi kehidupan yang diperlukan oleh semua manusia dalam melayari bahtera kehidupan.

Apakah maksud Hukum Syarak?

Kita sebutkan tadi bahawa tujuan memepelajari ilmu Fiqh ialah untuk menegetahui hukum Syara’ atas setiap perbuatan kita.Apa yang dimaksudkan dengan Hukum Syara’?
Hukum Syarak ialah ketetapan dari Allah atas perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya.Ketetapan ini diketahui berdasarkan penelitian terhadap dalili-dalil Syara’ iaitu Al Quran , As Sunnah, Ijma’ , Qias dan sebagainya oleh para ahli Fiqh atau Mujtahid.

Setelah memahami pembahgian hukum Syara’ di atas dapat kita simpulkan perbuatan-perbuatan mukallaf mengikut hukum Syara’ terbahagi kepada lima jenis;

1.Yang wajib: perbuatan –perbuatan atau amalan-amalan yang mesti dilakukan di mana jika ditinggalkan akan berdosa.
2.Yang sunat; iaitu perbuatan perbuatan atau amalan-amalan yang digalakkan melakukannya oleh syarak iaitu diberi pahala sesiapa yang melakukannya , namun tidakalah berdosa jika ditinggalkannya.
3.Yang haram, iaitu amalan-amalan atau perbuatan perbuatan yang mesti ditinggalkan di mana jika dilakukan akan berdosa.
4. Yang makruh; iaitu amalan – amalan atau perbuatan –perbuatan yang digalakkan meninggalkannya iaitu diberi pahala kepada orang yang meninggalkannya (kerana Allah)namun tidak dikira berdosa jika dilakukannya.
5.Yang mubah (harus) ; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang diserah kepada pilihan manusia sama ada ingin melakukannya atau meninggalkannya di mana sebarang pilihannya tidak akan memebawa implikasi dosa atau pahala.
Tidak ada perbuatan mukallaf dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya melainkan tertakluk dengan salah satu dari hukum lima di atas.

Apa cabang-cabang ilmu yang terkandung dalam ilmu Fiqh?
Ilmu Fiqh merangkumi dua bahagian besar:
1.Ibadah; iaitu hukum hakam yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan.Ia merangkumi ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.
2.Mu’amalat;iatu yang menyentuh hubungan manusia sesama manusia.Cabang mua’amalat ini merangkumi pula bidang-bidang berikut;
a)Hukum – hakam tentang kekeluargaan yang merangkumi perkahwinan, penceraian, perwarisan nafkah dan sebagainya.
b)Hukum hakam tentang jual beli , sewa menyewa , gadaian, jaminan dan sebagainya.
c)Hukum hakam tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran Negara merangkumi kewajipan melantik ketua Negara, tanggungjawab ketua Negara/pemimpin dan hak dan kewajipan rakyat/warga Negara.
d)Hukum hakam tentang kehakiman/pengadilan merangkumi keputusan (al-Qadha), pendakwaan ,prinsip-prinsip hukuman , kesaksian, sumpah, keterangan dan sebagainya.
e)hukum hakam tentang ahli Zimmah (orang bukan Islam yang mendiami dalam Negara Islam) merangkumi hak-hak dan tanggungjwab mereka terhadap Negara dan sebagainya.
f)Hukum hakam tentang kewangan Negara merangkumi sember sumber pendapatan Negara dan perbelanjaan perbelanjaannya.
h)Hukum hakam tentang jenayah dan hukuman; merangkumi penetapan perkara-perkara yang terlarang dan hukuman-hukumannya, cara-cara menetapkan/mensabit kesalahan-kesalahan jenayah dan perlakasnaan hukuman terhadapnya.

Apakah Sumber-Sumber ilmu Fiqh?
1Al quran
2.As Sunnah.

Sumber sumber sokongan bermaksud dalil-dalil tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkan hukum hklam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al quran dan As Sunnah ) ia terdiri dari;
1.Ijmak
2.Qiyas
3.Istihab
4.Masalih Mursalah
5.Istihsan
6.Uruf
7.Syari’at terdahulu.

Semoga dengan mengetahui serba sedikit tentang Ilmu Fiqh membawa kita semua untuk menyegerakan kea arah peningkatan kualiti amalan (ibadah) dalam kehidupan seharian kita iaitu merangkumi pelbagai aspek kehidupan pengabdian sebagai hambaNya yang beriman.

RUJUKAN:
Jalan sufi.com/apa maksud ilmu Fiqh.

by Durratun Nisa'.