Friday, 9 March 2012

~Cemburu menambah pahala~


Ketika Nabi Muhamad S.A.W diutus kepada umat manusia, Baginda mengisytiharkan bahawa perutusannya adalah untuk melengkapkan akhlak yang mulia. Baginda juga menghapuskan          perilaku-perilaku hina dan meluruskan apa yang perlu diluruskan. Di antara sifat yang               mendapat perhatian Baginda dalam membetulkan masyarakat Jahiliyah di tanah Arab ketika itu ialah sifat "cemburu" yang melampau. Sifat cemburu yang dimiliki oleh lelaki Arab Jahiliyyah terhadap kaum wanita berlaku sehingga mereka sanggup menguburkan anak puterinya hidup-hidup kerana khuatir nanti ia akan berbuat sesuatu perkara yang memalukan.
Tidak dapat dinafikan perasaan cinta menyebabkan wujudnya perasaan cemburu sebagai ujian dari Allah Taala kepada manusia. Sifat cemburu dianugerahkan daripada Allah sebagaimana orang yang memiliki harta melimpah ruah, dia pasti akan diberi oleh Allah perasaan takut jika         hartanya dikebas orang. Itulah cara Allah mendidik hambaNya agar mengakui bahawa setiap kenikmatan di dunia ini tidak kekal seperti mana kenikmatan di akhirat. Oleh kerana itu, kita yang bergelar hamba padaNya ini mestilah bersikap adil dalam mengaplikasikan sifat cemburu yang terarah menurut panduan Al Quran dan As Sunnah. Kerana, boleh jadi sikap cemburu yang keterlaluan mengakibatkan putus hubungan, putus persahabatan, putus pertunangan dan tidak kurang juga berlaku perceraian. Malah ada juga kisah cemburu yang menjadi motif kepada kes-kes jenayah seperti pembunuhan, khianat, simbah asid dan sebagainya.
Nabi Daud A.S pernah berpesan kepada anaknya Sulaiman A.S, "Wahai anakku, jangan terlalu banyak cemburu kepada isterimu, jangan kamu lihat yang buruk-buruk sahaja. Ini kerana, sifat yang keterlaluan itu akan menyebabkan isterimu menjadi mangsa tuduhan yang melampau padahal dia bersih dari tuduhan tersebut" - Sunan Al Baihaqi 1/499
Namun, tanpa cemburu juga merbahaya. Melalui cemburu, seseorang menunjukkan sikap ingin               mempertahankan sesuatu seutuhnya, dijaga sepenuh pengawasannya. Tanpa cemburu juga maka tiada siapa yang akan ambil peduli dan terpanggil untuk rasa bertanggungjawab membaiki keadaan. Sebarang              kebiasaan tabiat buruk dan keterlanjuran akan mudah membarah menjadi gejala tidak sihat apabila tiada sesiapa yang peka dan sensitif dengan kecemburuannya. Kita khuatir tanpa sifat cemburu atau kononnya mahu digelar "sporting", ia nantinya melahirkan masyarakat yang sesat barat, sehingga seseorang itu tega membiarkan lelaki lain berjalan-jalan bersama isterinya, membiarkan pergaulan adik perempuannya tanpa kawalan. Oleh kerana itu, sifat cemburu menjadi satu elemen yang diperlukan bagi memastikan keutuhan rumah tangga, asalkan neraca yang menjadi asas kecemburuan itu selari dengan kehendak Allah Taala.
Apa yang lebih dekat lagi dengan kita selaku mahasiswa,rasa ini perlu ada dalam meningkatkan semangat dalam mencapai kualiti pembelajaran dan timbul suasana persaingan yang sihat.

Dalam melaksanakan perintah pemeliharaan ini maka kita perlu memiliki sifat cemburu, dan cemburu itu juga mestilah kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta kepada Allah, kerana Dia-lah sumber kasih sayang yang paling utama. Jangan tergadai ikatan kasih sayang kepada Allah dek terlalu sayangkan anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan selainnya maka perhatikanlah firman Allah ini :

قُلْ إٍن كَانَ آبَاؤُكُم وَأَبْنَاؤُكًم وَإٍخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُم وَأَموَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَحْشَونَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَونَهَا أَحَبَّ إِلَيكُمْ مِّنَ اللهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأتِيَ اللهُ بِأَمْرِهِ وَاللهُ لَا يَهْدِي القَومَ الفَاسِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" - At Taubah:24, Al Quranul Karim

Cemburu Sifat Orang Beriman, Tanda Sayang & Bukti Harga Diri

Cemburu itu tanda sayang, ia menjadi bumbu dalam hubungan kasih sayang. Tetapi, sayangilah apa jua asalkan ia dihubungkan kepada Allah Taala Yang Mempunyai Segala-galanya. Justeru, cemburulah apabila suami,isteri, anak,kaum kerabat,sahabat dan sesiapa sahaja di sekeliling kita yang menunjukkan tanda-tanda lalai dan melencong daripada landasan hidup sebagai orang yang dicintai Allah.
Sa'ad bin Ubadah R.A pernah menggambarkan perasaan marahnya di hadapan Para Sahabat jika dia mengetahui isterinya bergaul dengan lelaki lain. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, "Apakah kalian merasa hairan dengan kecemburuan Sa'ad? Sesungguhnya aku lebih cemburu jika dibandingkan dengannya, dan Allah lebih cemburu jika dibandingkan denganku. Kerana itu Allah melarang perbuatan keji, baik ia dilakukan secara terang mahupun secara sembunyi. Dan tiada sesiapapun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutusNya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorangpun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memujiNya) dijanjikannya syurga" - [ rujuk Sahih Bukhari (6846), Sahih Muslim (6846) ].