Zinnirah menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah
S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan
rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam
inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah
Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome. Kehidupan
keluarganya sangat miskin dan dalam keadaan serba kekurangan. Ketika berlaku
satu peperangan besar di Rome, Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu
menjadi tawanan perang. Sejak itu dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar
tangan. Sepanjang menjadi hamba abdi, Zinnirah dilayan dengan kasar dan
adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya.
Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib
dengannya. Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam diri Zinnirah kerana
hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah. Penerangan yang
tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam. Namun, dia terpaksa melakukan
ibadat secara rahsia kerana tuannya memusuhi Islam.
Nasibnya lebih malang apabila dia bertukar tangan kepada bangsawan
Quraisy yang sangat berpengaruh masa itu, Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar
belum memeluk Islam dan juga tidak mengetahui keIslaman Zinnirah. Umar yang
sangat memusuhi Rasulullah terkenal dengan bengis dan kasarnya sehingga
digeruni, baik lawan maupun kawan. Akhirnya, Umar mengetahui mengenai keIslaman
Zinnirah apabila suatu hari dia mendengar gadis itu membaca al-Quran. Ini
menimbulkan kemarahan Umar yang mahu menghukumnya dengan siksaan berat.
“Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?” Tanya Umar keras dengan
wajah bak singa sambil mengheret Zinnirah ke tengah padang pasir. Di situ, Umar
mengikat kaki dan tangan Zinnirah dan menjemurnya di tengah panas terik.
“Inilah caranya supaya kamu insaf,” katanya lalu meninggalkan Zinnirah di situ.
Walaupun mukanya perit dipanah matahari dan kehausan, Zinnirah tabah menghadapi
penderitaan itu sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan Allah.. Allah…
Apabila melihat hamba abdinya belum insaf, Umar menyeretnya ke pinggir
kota dan mengikatnya di tiang. Dia menyuruh orang mengorek mata Zinnirah
sehingga buta (ada juga sumber menceritakan dicucuk dengan besi panas). “Ini
untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di
akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara
kerana aku sedar untuk mendapat syurga aku terpaksa menagih ujian berat,
sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.” Inilah rintihan hati
Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam
sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Pengorbanan
Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya.
Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza.
Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan
dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan
Allah mengizinkan ianya berlaku.
Penderitaannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq
yang membeli Zinnirah dengan harga tinggi. Sejak itu, dia tekun beribadat dan
dengan kurnia Allah, kedua-dua matanya yang buta itu bercahaya semula.
Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramai orang Quraisy memeluk Islam.
______________________________________________________________________
Dibalik tangisan kehambaan zinnirah, dibalik kegagahan iman dalam jasad
seorang wanita islam.zinnirah dipulihkan dengan kembalinya sinar cahaya dalam
hidupnya setelah allah memulihkan matanya.
tertanya-tanya dalam hati ini.adakah aku mampu berdiri teguh dengan
imanku ketika aku dihina dan disiksa semahu-mahunya oleh seorang lelaki gagah
dan bengis umar.
Apakah aku mampu menjadi seperti srikandimu?hari ini, aku berdiri dibumi
mu sebagai hambamu yang lemas dengan kemodenan dunia yang seketika ini.jiwaku
disiksa, hatiku digoda secara perlahan oleh angin yahudi.pakai ku, kata-kata
ku, tingkah laku ku, ku pintaMu untuk kuatkan imanku agar dapat ku jaga
semuanya demi cintaku kepadaMu allah.
Izinkan aku untuk menjadi seperti Zinnirah. Hamba tawanan yang begitu
cekal menyebut namamu disaat nyawanya diratah Umar. Semoga titipan kisah
zinnirah ini dapat memberi sedikit penghayatan kepada kita semua.