Bagi
umat Islam di Mesir dan di seluruh dunia yang pernah belajar di Universiti
Al-Azhar, nama Syeikh Hafiz Salamah adalah tidak asing lagi bagi mereka. Ini
kerana beliau telah memahat sejarah tersendiri dalam diari ingatan individu
Muslim yang bencikan penjajahan, khususnya Israel yang bukan sahaja merampas
tanah umat Islam di Palestin lebih setengah kurun, malah bertindak biadap untuk
merampas tanah-tanah yang didiami oleh umat Islam di tempat lain termasuklah
bumi bertuah, Mesir. Keangkuhan bangsa Yahudi yang mendiami Israel tidak dapat
dibendung walaupun cuba ditutup dengan kain sebesar saiz stadium sekalipun. Ini
kerana kejahatan, kerakusan dan kebiadapan mereka telah pun diceritakan oleh Allah
SWT bagaimana mereka sanggup menjadi penghalang kepada tugas-tugas para anbiya'
di kalangan mereka sendiri yang bertindak tanpa mempedulikan para anbiya'
adalah utusan daripada Allah SWT.
Kebiadapan mereka perlu diajar
seperti yang pernah dilakukan oleh individu Muslim yang berpegang kuat kepada
ajaran agama Allah SWT, seperti yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hafiz Salamah
ketika tercetusnya perang antara Mesir dan Israel pada tahun 1973. Perang
berpihak kepada kemenangan Mesir kerana berkat doa, usaha serta penentangan
yang ditonjolkan oleh individu-individu seperti Syeikh Hafiz Salamah.
Rahmat Allah SWT dengan berkat
Syeikh Hafiz Salamah, maka Mesir terselamat dalam kancah perang pada 1973 yang
akhirnya memaksa tentera Israel berundur dari seluruh kawasan dan wilayah di
Mesir kerana perancangan mereka tersekat dengan munculnya satu keajaiban
melalui tangan keramat Syeikh Hafiz Salamah.
Keperibadian
Syeikh Hafiz Salamah
Namanya Hafiz Ali Ahmad Salamah
atau lebih dikenali umum sebagai Hafiz Salamah, dilahirkan pada 10 Jamadilakhir
1344H bersamaan dengan 25 Disember 1925 di bandar Suez. Beliau anak keempat
daripada pasangan Ali Salamah iaitu seorang saudagar kain yang menjelajah dari
satu wilayah ke satu wilayah yang lain seperti yang pernah dilkukan oleh Rasulullah
SAW pada zaman kehidupan baginda.
Dalma Perang Dunia Kedua,
ayahnya berhasrat untuk membawa ahli keluarganya untuk berhijrah ke Kaherah
memandangkan Suez adalah tempat masuk segenap bala tentera asing yang mengancam
penduduk setempat sekali gus menghalang segala sktiviti harian termasuk
perdagangan dengan pelbagai bentuk jenisnya.
Namun Syeikh Hafiz enggan untuk
bersama keluarganya ke Kaherah dengan alasan mahu meneruskan perniagaan ayahnya
di Suez, sekali gus mahu mampertahankannya daripada segenap anasir yang datang.
Dalam usia mencecah 19 tahun,
Syeikh Hafiz menyertai sebuah pertubuhan belia pada 1944 yang dikenali sebagai
Jam'iyyah Syabab Muhammad (Pertubuhan Belia Muhammad) yang merupakan
penglibatan awalnya dalam kancah penentangan terhadap segenap bentuk penjajahan
asing ke atas Mesir.
Kecenderungan
kepada gerakan secara tidak langsung
Syeikh Hafiz Salamah sedar,
bahawa kebanyakan para aktivis Islam pada masa itu bersama dengan gerakan Islam
yang ada pada masa itu yang diasaskan oleh Imam Hassan, yang berjuang bukan
sahaja dalam Mesir, malah perjuangan mereka hingga mengerahkan ahli-ahlinya
untuk menyelamatkan bumi Palestin yang dirampas pada 1948 yang ditaja oleh
Britain, Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Syeikh Hafiz Salamah tidak
menolak pendekatan yang dibuat oleh gerakan Islam yang ada pada masa itu dalam
meneruskan misi dakwah dan gerakannya. Malah beliau terus bersama Pertubuhan
Belia Muhammad yang masih dilihat oleh pihak berkuasa dan tentera asing
bukanlah ancaman terhadap mereka, tetapi pada masa yang sama bertindak
mengancam dan menghalang hasrat mereka untuk menjajah dan menakluk bumi Mesir.
Beliau yang juga terlibat dalam
menyertai ketumbukan gerakan Islam pada tahun 1948 ke Palestin bagi
menyelamatkan bumi tersebut terkandas kerana pihak berkuasa Mesir lebih dahulu
mengesan individu yang menjadi delegasi untuk menyelamatkan Palestin, nama-nama
mereka diserahkan kepada tentera British untuk diambil tindakan undang-undang.
Pada tahun 1950, Syeikh Hafiz
Salamah dan juga aktivis gerakan Islam menjadi buruan pihak berkuasa atas
arahan British. Akhirnya beliau ditangkap kerana tulisannya yang tersiar di
dalam akhbar "An-Nazir" yang mengkritik hebat pakaian wanita dalam
pasukan Bulan Sabit Merah yang menyerupai rahib-rahib Kristian.
Beberapa bulan selepas ditahan,
Syeikh Hafiz Salamah bertindak garang dengan menghalakan sasaran kritikan
pedasnya terhadap kekejaman tentera British pada 1951 yang akhirnya beliau
sekali lagi ditangkap hingga kepada berlaku revolusi yang dikenali sebagai
"Revolusi Julai 1952" yang dianggap sebagai satu petualang kepada
perpecahan orang Arab hingga ke hari ini.
Presiden Mesir ketika itu,
Presiden Jamal Abdul Naser mengeluarkan arahan supaya Pertubuhan Belia Muhammad
diharamkan serta-merta markaz mereka ditutup, segala aktiviti dihalang bagi
menjaga kepentingan Mesir dan Soviet Union ketika itu, kerana PResiden Jamal
Abdul Naser adalah pemimpin Mesir yang berhaluan Sosialis, maka Syeikh Hafiz
Salamah turut ditangkap dan disumbat ke dalam Penjara Za'bal.
Berjihad
di belakang tabir penjara
Syeikh Hafiz Salamah yang
diletak di dalam sel yang bernombor 12 di penjara Anbar Al-'Atawilah tidak
berdiam diri, malah menulis sepucuk surat yang ditujukan khas kepada Presiden
Jamal Naser menasihatkannya agar bertakwa kepada Allah SWT, hendaklah beliau
takut kepada-Nya yang akan mati dan berada dalam alam kubur hingga sanggup
menjadi tali barut musuh Islam dengan menggadai maruah ajaran Islam dan akidah.
Beliau bersama para pimpinan gerakan Islam turut memohon agar dibebaskan supaya
dapat mempertahan Mesir dari serangan Israel, ia berlaku pada tahun 1967 di
mana tentera Mesir kalah dalam peperangan itu.
Beliau menegaskan dengan jelas,
bahawa tangan-tangan Muslim yang jarang berwudhuk, tidak akan diberi kemenangan
oleh Allah SWT, kerana mereka sama sahaja seperti orang-orang kafir. Permintaan
Syeikh Hafiz Salamah akhirnya ditunaikan akan tetapi, sudah agak terlewat
kerana Mesir telah menerima kekalahan.
Perang
6 Ramadhan menghadapi tentera Israel
Syeikh Hafiz Salamah boleh
dianggap wira dalam peperangan pada tahun 1973 setelah Syeikh Al-Azhar pada
waktu Dr. Abdul Halim Mahmoud bermimpi bahawa Mesir akan menerima kemenangan
dan mengerahkan seluruh bala tenteranya melalui Presiden Anwar Sadat agar
bersiap siaga dalam menghadapi peperangan tersebut.
Syeikh Hafiz Salamah berperanan
besar pada peperangan itu. Apabila tentera Israel mengalirkan racun dalam laut
Mesir termasuk di Terusan Suez yang menjadi sumber minuman kepada seluruh
rakyat negara itu, sesungguhnya Allah SWT tidak menghendaki rakyat negara Mesir
mati diracun, maka dengan berkat dan keramat (karomah) Syeikh Hafiz Salamah
yang kassyaf kerana banyak beramal dan berzikir kepada Allah, beliau telah
mengalihkan air racun tersebut untuk dikirim semula ke Israel agar menjadi
sumber minuman beracun dengan jarinya yang mulia itu.
Takdir Allah menentukan
segala-galanya apabila Mesir menerima kemengan dalam peperangan tersebut atas
berkat doa, gandingan serta penggemblengan tenaga para ulamak yang membuka mata
umum bahawa para ulamaklah yang menjadi tulang belakang kemenangan kepada Mesir
walaupun mereka pernah dipenjara atas alasan yang tidak munasabah kerana
semata-mata mendaulatkan Islam secara praktikal.
Sesungguhnya kehidupan Syeikh
Hafiz Salamah sarat dengan perjuangan untuk menegakkan hukum Allah SWT di muka
bumi ini, sama ada menghadapi musuh Allah di kalangan orang-orang kafir Nasrani
(Kristian) atau Yahudi, mahupun musuh dalam selimat di kalangan bangsa sendiri
yang sanggup menjadi penerus hidup yang menentang Allah SWT.
العلماء
ورثة الأنبياء